feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Maklumat Terkini

"Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda diperbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui, (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah, niscaya akan dibayar cukup kepada kamu, dan kamu tidak dirugikan" Ayat 60 Surah Al-Anfal

USTAZ HANAFI DALAM KENANGAN ... Episod 5


Permulaan Perkembangan Silat Cekak dan cabaran yang di hadapi

i- Pertemuan dengan Encik Yahaya Said

Pertemuan kedua Ustaz Hanafi dengan Yahaya Said berlaku selepas Ustaz Hanafi berniaga apam balik di Yala, Siam. Ustaz Hanafi mengetahui bahawa Yahaya Said ada memiliki ilmu silat yang bermutu tinggi, tetapi tidak tahu apakah nama silat itu. Pertemuan yang berlaku pada bulan Disember 1965 telah mencetuskan satu aspirasi baru dalam perkembangan silat ini apabila Yahaya Said bersetuju untuk menurunkan ilmu silat ini kepada Ustaz Hanafi. Yahaya Said bagaimanapun mahukan bayaran yang agak tinggi bagi beliau mengajar Ustaz Hanafi. Oleh kerana kehidupan beliau yang susah, maka adalah amat sukar memenuhi permintaan oleh Yahaya Said yang meminta bayaran yang tinggi. Oleh itu jalan terbaik yang dibuat oleh Ustaz Hanafi ialah mengumpulkan seberapa ramai orang yang mahu belajar silat itu. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, Ustaz Hanafi berjaya mengumpulkan seramai 20 orang untuk belajar silat tersebut. Penuntut-penuntut tersebut termasuk Ustaz Hanafi telah diijazahkan pada 28 Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385H disebuah rumah yang amat bersejarah iaitu rumah Shafie bin Darus (juga sebagai penuntut baru) di alamat Batu 4 ¾ , Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah.

ii- Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah (PSSBSK)

Walaupun seramai 20 orang penuntut baru telah diijazahkan untuk belajar silat, namun kegiatan persilatan ini tidak boleh dijalankan tanpa pendaftaran yang sah. Dengan bantuan sahabat beliau yang bernama Abdul Rahman Mahadi yang merupakan ahli jawatankuasa Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah (PSSBSK), telah berjaya mendapat persetujuan dari jawatankuasa PSSBSK (Ketua Satu pada waktu itu adalah Shahnon Ahmad, Prof. Datuk) untuk melantik Ustaz Hanafi menjadi Ketua Seksi Seni Silat. Kebenaran untuk menjalankan kelas latihan silat juga telah diluluskan.

Selepas dilantik menjadi Ketua Seksi Seni Silat PSSBSK, Ustaz Hanafi melalui surat beliau kepada Encik Yahaya Said bertarikh 1hb. Januari 1966 TELAH MELANTIK Encik Yahaya Said menjadi guru silat untuk mengajar ahli-ahli yang berminat untuk belajar silat.

Elok juga kita lihat apakah kandungan surat yang ditulis oleh Ustaz Hanafi kepada Encik Yahaya Said (diambil sepenuhnya dari kandungan tersebut):

Rujukan : Bil ( 2 ) dlm PSSBSK /Seksi Silat 1

Tarikh : 1 hb. January , 1966

Kapada:
Inche Yahaya Bin Said,
Kuala Kurau, PERAK

Inche,
Perkara : SURAT LANTIKAN

Menurut kuasa yang di-berikan kapada saya oleh Jawatan Kuasa Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah, maka ini-lah saya Hanafi bin Ahmad, Ketua Seksi Seni Silat PSSB Sri Kedah, dengan rasa hormat dan perhargaan yang tinggi melantek Inche menjadi Guru Silat Bagi Perkumpulan ini.

2. Bagi melaksanakan tujuan di-atas maka Seksi Seni Silat PS.S.B.Sri Kedah akan menubuhkan pasokan2 yang akan mengikuti kursus silat dari semasa ka-semasa dan Inche di-persilakan mengajar menurut peraturan2 dan sharat2 yang akan di-tentukan dengan perundingan di-antara Inche dengan Perkumpulan ini.

Dalam usaha mengangkat batang yang terendam dan memperkembang seni asli bangsa kita maka saya harap urusan kita ini akan mendapat pertunjok dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala dan semoga keikhlasan dan kejujoran akan menjadi pegangan kita selama2-nya.

Sekian-lah sahaja.

Adalah saya yang berkhidmat,

TT
(Hanafi Haji Ahmad)
KETUA
Seksi Seni Silat P.S.S.B.Sri Kedah


Salinan Kepada:
Setiausaha Kehormat,
Perkumpulan Seni Sari Budaya,
SRI KEDAH




Selepas beberapa ketika silat ini dihidupkan, barulah Encik Yahaya Said menamakan silat tersebut sebagai SILAT CEKAK . Kesemua penuntut awal tersebut telah berjaya menamatkan pelajaran silat antaranya adalah seperti Shafie Darus, Mohd Zain Shafie, Ramli Shafie, Ahmad Shafie, Fadhil Jaafar, Osman Ariffin, Din Ahmad, Abd. Rahman Mahadi , Ishak Haji Ahmad dan Shuib Hj Ahmad serta Ustaz Hanafi Hj Ahmad sendiri.

iii- Penentangan terhadap usaha Ustaz Hanafi

Selepas Silat Cekak berjaya dihidupkan dan kelas silat dijalankan di bawah PSSBSK, Silat Cekak mula mendapat perhatian. Namun begitu tidak semua orang yang menyukai tindakan Ustaz Hanafi mengembangkan Silat Cekak ini. Oleh itu, sepanjang beliau menjalankan kerja-kerja mengembangkan silat ini, terdapat ramai guru-guru silat yang tidak bersetuju dengan beliau dan telah melakukan berbagai cara untuk menghalang Ustaz Hanafi mengembangkan Silat Cekak. Terdapat beberapa tentangan yang berlaku antaranya tentangan oleh guru-guru silat, cubaan membunuh dengan menyapu racun berbisa pada kasut Ustaz Hanafi yang menyebabkan Ustaz Hanafi hampir menemui maut, tentangan dari golongan-golongan politik yang melihat Ustaz Hanafi sebagai seorang ahli parti pembangkang yang semakin berpengaruh.

a- Tentangan dari Encik Yahaya Said (guru silat Ustaz Hanafi sendiri)

Tentangan dan dugaan yang hebat sebenarnya datang dari guru silat beliau sendiri iaitu Encik Yahaya Said. Walaupun Encik Yahaya Said pada mulanya telah bersetuju menyerahkan silat ini kepada Ustaz Hanafi untuk meneruskan perkembangannya, namun apabila melihat Ustaz Hanafi mula mendapat tempat pengaruhnya semakin besar, maka Encik Yahaya Said telah tidak begitu senang dengan keadaan tersebut. Ini mungkin disebabkan Ustaz Hanafi lebih popular dari beliau yang merupakan guru kepada Ustaz Hanafi. Kemudian Encik Yahaya Said mengambil keputusan menarik diri dari PSSBSK dan menjalankan kegiatan silat secara bersendirian tanpa naungan PSSBSK.

Selepas itu, Encik Yahaya Said telah menubuhkan Silat Kalimah dan mengajar silat tanpa ada apa-apa hubungan dengan Ustaz Hanafi dan PSSBSK lagi. Namun apa yang dilakukan oleh Yahaya Said tidak beroleh kejayaan. Beliau akhirnya mengalah dan pulang ke kampung beliau di Batu Kurau , Taiping, Perak, pada tahun 1966.

b- Tentangan dari anak murid

Pada tahun 1968, Ustaz Hanafi berjaya membuka satu lagi kelas silat di Sungai Petani, Kedah. Antara penuntut yang mempelajari silat tersebut adalah Azmi Long dan Redwan Long. Mereka berdua dengan beberapa rakan yang lain seperti Hashim Ismail, Ahmad Tarzan, darus Chin dan Yadin Hashim telah berjaya menamatkan pelajaran silat ini. Namun begitu, atas sebab disiplin dan Azmi Long dan Redwan Long telah dipecat dari menjadi ahli PSSBSK dan dari ahli Silat Cekak. Semua ahli jawatankuasa PSSBSK juga telah bersetuju dengan pemecatan tersebut.

Kedua-dua mereka telah tidak puas hati terhadap tindakan pemecatan tersebut. Mereka telah menyerang Ustaz Hanafi di stesen keretapi Butterworth pada hari Jumaat 15 Mei 1970. Ketika itu Ustaz Hanafi sedang duduk di dalam kereta. Ustaz Hanafi telah berjaya mengatasi serangan mereka dan sejak itulah kaedah menangkis serangan sewaktu sedang duduk telah diperkenalkan oleh Ustaz Hanafi dengan nama Buah Kusyen.

Peristiwa tersebut tidak berakhir di situ. Kedua-dua mereka telah membuat laporan polis dengan menuduh Ustaz Hanafi yang menyerang mereka. Oleh sebab itu, Ustaz Hanafi telah ditahan di lokap polis di Butterworth. Peristiwa ini berlarutan hingga ke mahkamah di mana Marina Yusof , (Datuk) sebagai hakim pada waktu itu telah mendapati Ustaz Hanafi tidak bersalah.

Azmi Long dan Redwan Long masih tidak berpuas hati terhadap peristiwa yang berlaku. Mereka kemudian telah pergi berjumpa Encik Yahaya Said di Batu Kurau , Perak dan bergabung dengan Encik Yahaya Said untuk mengembangkan semula Silat Kalimah. Mereka percaya dengan kekuatan Encik Yahaya Said yang sebelum ini sebagai guru Ustaz Hanafi akan dapat mengalahkan Ustaz Hanafi. Itulah harapan mereka. Namun sejarah telah memaklumkan kepada kita semua bahawa mereka tidak berjaya mengalahkan Ustaz Hanafi walaupun mereka mencuba berbagai cara. Silat Cekak yang diusahakan oleh Ustaz Hanafi terus berkembang.

Secara ringkas dan pengajaran yang boleh diambil dari perisiwa di atas ialah Allah swt sentiasa berada bersama-sama orang yang benar. Tidak kira samaada seseorang itu sebagai guru ataupun anak murid, jika mereka tidak menjalankan amanah dan tidak melakukan sesuatu berlandaskan kebenaran, maka Allah swt akan menghancurkan mereka.




0 comments:

Post a Comment