feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Maklumat Terkini

"Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda diperbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui, (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah, niscaya akan dibayar cukup kepada kamu, dan kamu tidak dirugikan" Ayat 60 Surah Al-Anfal

Guru Utama Mohd Radzi

Md. Radzi bin Haji Hanafi, Guru Utama Silat Cekak sekarang dilahirkan pada 3 Ogos 1961 di Batu 3 1/4 Alor Setar, Kedah Darul Aman. Anak keempat kepada Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad ini mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah di Alor Setar dan Kuala Lumpur.

Md. Radzi mendirikan rumahtangga dengan Masita Mohd Salleh, yang berasal dari Johor Bahru, Johor pada tahun 1990. Mereka kini dikurniakan dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Beliau mempelajari silat cekak pada usia 18 tahun, iaitu umur yang dibenarkan mempelajari silat cekak ketika itu. Kefahaman dan pendidikan agama diperolehi daripada bapanya sendiri. Beliau memperolehi Sijil Rendah Silat Cekak pada tahun 1980 dan sijil menengah pada tahun 1987.

Pada 1981, Md. Radzi mula diberi kepercayaan dengan menjadi tenaga pengajar dan penyelia Silat Cekak cawangan Selangor, Terengganu dan Johor. Peranan beliau terhadap perkembangan Silat Cekak di Johor dilihat sangat sukses kerana atas usaha beliau dan izin-Nya,Silat Cekak bertapak kukuh di Johor.Sebelum beliau,telah beberapa individu berusaha untuk mengembangkan Silat Cekak di Johor namun gagal.

Beliau giat mengembangkan Silat Cekak di negeri Johor sejak tahun 1986 sehinggalah menjadi Guru Utama pada 1993.Sepanjang tujuh tahun tersebut,Silat Cekak di Johor tersebar luas dan berkembang maju sehingga mengatasi cawangan Silat Cekak negeri yang lain yang ditubuhkan lebih awal.Buktinya dilihat dari penyertaan ahli dari negeri Johor semasa melakukan demonstrasi besar-besaran pada tahun 2005.

Beliau menerima mandat untuk menjadi Guru Utama Silat Cekak pada 19 Mei 1993 dari Pemangku Guru Utama iaitu Tuan Haji Ishak Bin Itam. Penyerahan ini disahkan oleh ahli Majlis Muafakat Tertinggi Silat Cekak pada 21 Mei 1993 dan pengisytiharannya disempurnakan pada 23 Mei 1993. Seterusnya, beliau diminta menubuhkan dan mengetuai Lembaga Pelajaran dan Tatatertib Silat Cekak.

Ke mana tak tumpahnya kuah,kalau tidak ke nasi.Beliau mewarisi sifat dan ilmu Ayahanda yang dikasihi.Beliau telah memimpin Silat Cekak melalui Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM)yang ditubuhkan pada Ogos 1994.Begitu banyak sumbangan dan jasa beliau kepada pergerakan Silat Cekak antaranya tercatat nama Silat Cekak Hanafi di dalam Malaysia Book of Records (MYBOR) sebanyak dua kali iaitu pada 2001 dan pada 2005.

Kejayaan demi kejayaan yang dilakarkan oleh Silat Cekak Hanafi hasil teraju dan pimpinan Md. Radzi rupa-rupanya tidak disenangi oleh rakan-rakan beliau sendiri.Dan akhirnya pada 13 Ogos 2006 (iaitu ulang tahun ke 20 kemangkatan Almarhum Ustaz Hanafi,Pemimpin Agong Silat Cekak,bapa kepada Md Radzi) dan 17 September 2006 Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK), Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia yang bersidang telah membuat keputusan berikut:

1- Untuk mencemar imej dan merosakkan nama baik persatuan dengan mengenakan tindakan tatatertib dengan keahlian Md. Radzi digantung bagi satu tempoh yang tidak melebihi tiga (3) tahun berkuat kuasa dari 13 Ogos 2006.

2- Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) juga menolak permintaan ahli-ahli yang mahukan Encik Md Radzi Hj Hanafi sebagai Presiden dan Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan ini dilihat sangat berat sebelah kepada Md. Radzi kerana tatacara dan penyiasatan terhadap beliau dalam dakwaan salah laku dijalankan oleh mereka yang berkepentingan untuk menjatuhkan beliau.Malah mereka telah menganggap Md Radzi benar-benar bersalah walaupun siasatan sedang dijalankan.

Mereka melalui Setiausaha Agung PSSCUHM juga telah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah majalah berkaitan beladiri untuk menolak segala keputusan siasatan pihak polis yang sedang dijalankan dan tetap berpegang pada keputusan bersalah terhadap Md. Radzi.Kenyataan ini dilihat sama sekali mencabar kewibawaan pihak berkuasa sebagai pihak bertanggung jawab dalam soal jenayah di negara ini.

Sehingga kini,pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun dakwaan terhadap Md. Radzi walaupun beliau telah dipanggil membantu siasatan sejak Januari 2007.





Peralihan Kepimpinan

Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986, meninggalkan seorang balu, Maimunah Hj. Othman dan enam orang anak. Kedudukan Guru Utama dikosongkan selama 40 hari dan untuk sementara waktu, Ishak Itam memegang jawatan sebagai Guru Utama selama tujuh tahun agar dapat diserahkan semula kepada Md. Radzi Haji Hanafi, anak keempat Ustaz Hanafi.

Pada 19 Mei 1993, Silat Cekak telah dikembalikan semula kepada Md. Radzi dan diisytiharkan sebagai Guru Utama Silat Cekak pada 23 Mei 1993. Silat Cekak pula telah didaftarkan di bawah Pertubuhan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi (PSSCUHM) pada 5 Ogos 1994 dengan nombor pendaftaran 5592/94 (Selangor) dan beribu pejabat di Kompleks Sukan Datuk Keramat.

PSSCUHM telah kemudiannya melantik Marwi Latif sebgai Guru Utama untuk melaksanakan perjalanan persilatannya iaitu melanggar sama sekali adat dan adab perguruan Silat Cekak.Di dalam Silat Cekak,mandat perguruan iaitu penentuan untuk menjadi Guru Utama hanyalah ditentukan oleh Guru dan Bakal Guru, yang tidak dicampuri oleh mana-mana individu atau kumpulan lain.Tindakan Majlis Muafakat Tertinggi (MMT) dan Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK) melantik Marwi Latif sebagai Guru Utama adalah sama sekali bertentangan dengan perjuangan Silat Cekak itu sendiri.





Perkembangan Silat Cekak

Pada mulanya, silat ini dikembangkan di bawah pergerakan kebudayaan Perkumpulan Sari Seni Budaya Sri Kedah. Ustaz Hanafi sendiri ketika itu adalah ketua Seksyen Silat dalam kelab tersebut melantik Yahya Said untuk mengajar Silat Cekak kepada semua ahli Seksyen Silat termasuklah beliau sendiri.

Akhirnya, Ustaz Hanafi dikhatamkan sendiri oleh Yahya sendiri dan diberi mandat sebagai guru untuk mengembangkan silat ini. Yahya Said pula balik ke Perak dan tidak lagi mengajar setelah misi beliau membawa amanah Panglima telah berjaya dilaksanakan.

Selepas dikhatamkan, Ustaz Hanafi mula mengembangkan silat ini, pada mulanya di Sungai Petani dan kemudiannya di Bukit Mertajam di antara tahun 1968 dan 1969.

Silat ini mula dikembangkan di Kuala Lumpur dengan kelas pertama di Kg. Bumiputera dan Kg. Datok Keramat di bawah Persatuan Bawean Putera (1970-19 Ogos 1971) dan kemudian didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) beralamat di No.32, Jalan Hj. Sirat, Kampung Baru (kemudian dipindahkan ke Bangunan Silat Cekak di alamat Bangunan Silat Cekak, Jalan Sentul, Kuala Lumpur mulai pada 21 Februari 1985.





Ustaz Hanafi

Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad, pengasas Silat Cekak Ustaz Hanafi, dilahirkan pada tahun 1923 di Kedah. Beliau memulakan pendidikan awalnya di sekolah Melayu Kampung Gunung, Alor Setarulama di Kedah. Bagi mendalami ilmu agamanya, beliau mengembara ke seluruh negara untuk menemui para guru yang dapat membimbingnya. Hasil penat lelah beliau berbalas apabila beliau menemui Tok Guru Pak Haji Zain bin Abdul Rahman yang dapat menghuraikan permasalahan Tauhid (soal ketuhanan di dalam agama Islam). sebelum menyambung pengajian agamanya dengan beberapa orang

Semangat kemerdekaan yang menyusup ke dalam jiwa penduduk Tanah Melayu ketika itu turut menyusup masuk ke dalam jiwa Ustaz Hanafi sendiri. Beliau percaya yang orang Melayu juga mempunyai sistem beladiri yang tidak kalah dengan beladiri asing. Ustaz Hanafi terpaksa mengembara sekali lagi untuk mencari ilmu yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri, menyebabkan beliau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan dan rintangan.

Namun akhirnya, Ustaz Hanafi berjaya menemui Yahya Said, yang selama 40 tahun telah menyimpan amanat Panglima Tok Rashid. Silat Cekak akhirnya dilahirkan semula pada malam 5 Ramadhan, 1385 Hijrah (28 Disember 1965).





Sejarah Silat Cekak

Adapun Silat Cekak ini asalnya dari Kedah. Tidaklah dapat dipastikan samada ianya wujud hasil dari seorang atau hasil permuafakatan dari pelbagai guru. Silat ini datang dipercayai selepas kedatangan Islam di negeri ini.

Silat ini dahulunya diajarkan hanya kepada para panglima di Kedah untuk menghalang pencerobohan luar ketika itu. Orang yang paling lama diketahui mempelajari silat ini adalah Panglima Ismail yang berkhidmat di bawah Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Ismail, pada suatu masa telah mengalahkan seorag Batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) di Kubang Kerian, Perak.

Seterusnya, silat ini diajarkan kepada Panglima Tok Rashid yang ketika itu terpaksa berpindah ke Perak kerana di tempat tinggalnya di Kedah ketika itu diserang wabak taun. Akhirnya, Panglima Tok Rashid mengamanahkan silat ini kepada Yahya Said (Pak Ya Said) dengan pesannya: " Kalau ada anak cucuku dari Kedah yang ingin belajar, hendaklah engkau pulangkan kembali"

Maka En. Yahya Said pun diamanahkan untuk menjaga silat ini, untuk diberikan kepada yang hak empunya.





Senarai Nama Buah

Berikut adalah senarai buah - buah Silat Cekak, sebanyak 21 buah. Pada asalnya jumlah buah yang ada adalah 28 kesemuanya. Ustaz Hanafi telah membuat beberapa perubahan dengan membuang dan mengabungkan beberapa buah di dalam sistem matapelajaran ini kerana beliau berpendapat ada beberpa buah yang tidak praktikal untuk digunakan. Ada juga buah - buah hampir - hampir serupa dan buah - buah ini pula telah digabungkan.

  1. ) Buah Pertama
  2. ) Keputusan Gayong Petani
  3. ) Keputusan Sendeng Atas
  4. ) Buah Kilas Belakang
  5. ) Buah Kilas Hadapan
  6. ) Buah Kidong Kiri
  7. ) Buah Kuntau Jatuh
  8. ) Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
  9. ) Buah Kuntau Kanan Gantung
  10. ) Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau)
  11. ) Buah Ali Patah Atas
  12. ) Buah Ali Patah Sudah
  13. ) Buah Selendang
  14. ) Buah Gari & Gari Gunting
  15. ) Buah Paras
  16. ) Keputusan Pasung Kemanga
  17. ) Keputusan Terlak
  18. ) Keputusan Lintau
  19. ) Buah Hempok
  20. ) Buah Luncur
  21. ) Buah Siku Potong


Antara buah - buah yang telah dibuang:

  1. )Buah Rasa
  2. )Buah Singkat Nyawa
  3. )Buah Pusing Tangan (Pecahan dari Gayung Petani)
  4. )Buah Sengkak
  5. )Buah Keputusan Sendeng Bawah Kiri dan Kanan
  6. )Buah Kidung Kanan




Sukatan Pelajaran

Ada empat peringkat pembelajaran dalam Silat Cekak.

  • Buah Asas - Mempelajari asas menangkis serangan dari hadapan.

  • Buat Jatuh - Lanjutan dari buah asas, iaitu menangkis serangan dan menjatuhkan lawan.

  • Buat Potong - Digunakan untuk menangkis semula Buah Asas dan Buah Jatuh jika pesilat Cekak lain cuba menggunakan buah Silat Cekak ke atas diri kita

  • Buah Serang - Serangan kepada pihak lawan, jika dielak pasti kena, jika ditepis kita akan menangkap dan menjatuhkan lawan. Ia juga boleh menyerang sambil menangkap(cekak menyerang, cekak menangkap).

  • Buah Umum - Mempelajari keseluruhan teknik pertahanan dan serangan untuk digunakan secara praktikal. Pada peringkat ini juga para pesilat akan diajar cara - cara untuk berhadapan dengan pengamal seni beladiri yang lain.




Makna Cekak

Cekak secara dasarnya mempunyai beberapa makna, bergantung kepada dialek ataupun loghat penuturnya.

1) Makan Cekak. Di Utara terutama di Kedah, perkataan Cekak itu telah dijadikan satu simpulan bahasa - 'makan cekak'. Simpulan bahasa tersebut membawa makna bertanggungjawab. Misalnya ada suatu pekerjaan yang hendak dibuat, maka ada orang yang mengatakan:

"Ah, itu aku seorang saja pun 'makan cekak'."

Bila dibawa kembali kepada 'Silat Cekak' maka makna 'Silat Cekak' ialah silat yang bertanggungjawab menjaga diri pengamal-pengamalnya dari dianiayai oleh musuh-musuhnya.


2) Bercakak. Di dalam bahasa Minang, perkataan Cekak ada juga, tetapi tidak disebut sebagai 'Ce-kak' tetapi disebut dengan bunyi 'Cakak'. Bercakak dalam bahasa Minang membawa maksud bergaduh. Contohnya:

"Si Ali dan si Ahmad sedang bercakak di simpang tiga".

Ini membawa pengertian bahawa si Ali dan si Ahmad sedang bergaduh. Jadi kembali kita kepada makna Silat Cekak - ia membawa erti 'Silat Gaduh'. Ini bukan bermakna Silat Cekak ini suka bergaduh tetap ialah Silat yang boleh dibawa bergaduh untuk mempertahankan diri. Jelas sekali Silat Cekak sebenarnya Silat yang benar-benar untuk mempertahankan diri bukan untuk pertunjukkan di majlis-majlis kenduri ataupun di pesta-pesta. Sebab itulah Silat Cekak tidak ada tari menari, gong gendang dan langkah melangkah. Ia hanya mara kehadapan apabila bertempur dengan musuh.


3) Cekak juga membawa maksud ringkas. Keringkasan Silat Cekak ini dapat dilihat dalam sistem matapelajarannya, yang sangat mudah dan cepat dipelajari. Ilmu Silat Cekak mendidik pengamalnya supaya tidak mengelak ke kiri atau ke kanan, tidak pula berunduk ke belakang, malah mara ke hadapan dalam gerak yang satu.

Dalam pembelajaran buah, konsep ringkas ini juga ditekankan. Kesemua 21 buah Silat Cekak itu segerak, dalam erti kata hanya memerlukan satu gerak untuk melengkapkan buah tersebut. Ini memperjelaskan lagi konsep Ringkas yang menjadi salah satu maksud perkataan Cekak itu sendiri.


4) Secekak. Pergi pula kita kepada perkataan secekak. Secekak membawa erti segenggam. Segenggam ini pula membawa kepada banyak maksud. Pertamanya, Silat Cekak mempelajari yang segenggam bukan yang segantang. Di sini dimaksudkan bahawa mata pelajaran Silat Cekak merupakan mata pelajaran intisari silat sahaja (segenggam) bukannya cabang-cabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana Silat Cekak adalah mempelajari perdu gerak, maka ianya sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang singkat sekali.

Kedua, segenggam menunjukkan padu. Jadi Silat Cekak adalah satu Silat yang benar-benar tegas dan berpendirian. Di mana kaedah-kaedahnya memberi keyakinan kepada pengamal-pengamalnya bahawa mereka telah mendapat rahsia dan sesuatu yang berguna di dalam bidang seni mempertahankan diri.





Lahirnya Cekak kerana Kesedaran

Lahirnya Cekak kerana kesedaran
Bukan bermusuh sebagai tujuan

Cekak dizahirkan bersama kesedaran dan iltizam Us. Hanafi untuk membawa perubahan.

Assalamu'alaikum

Lahirnya Cekak kerana kesedaran
Bukan bermusuh sebagai tujuan

Cekak dizahirkan bersama kesedaran dan iltizam Us. Hanafi untuk membawa perubahan. Ini bukan satu yang mudah. Seiring perubahan pasti ada tentangan. Tanyalah para sahabat beliau yang masih kekal memperjuangkan cita-citanya. Adakah Us. Hanafi sedar bahawa perjuangan yang dibawa bukan kecil anak? Tetapi Hanafi tetap Hanafi. Atas kesedaranlah maka dikumpulkannya ahli demi mempelajari Silat yang tiada nama pada mulanya. Siapa sangka, telah tersemat dilembaran sejarah, di lantai rumah Shafie Darus, Us. Hanafi dan rakan-rakan menerima kaedah yang pertama. Bermulalah langkah untuk merubah sebuah kisah. Lahirnya Cekak.

Ustaz Hanafi cukup sedar bahawa masyarakat Melayu terlalu alpa. Tahyul dan khurafat menjadi satu budaya. Hendak disanggah kurang kekuatan. Terus bertindak kurang upaya. Kalau terus dibiar, hati sakit. Melalui Cekak, Hanafi cuba membuka minda masyarakat untuk berfikir. Rupanya Melayu masih tak peka. Perubahan yang dibawa menjadi ancaman mereka. Pembaharuan ketara gerak pendekar cukup merunsingkan musuh. Sepakatlah mereka untuk menentang hatta ada yang sanggup membunuh. Allah tahu hambaNya benar. Mana mungkin insan sebegini dibiar sendirian tanpa petunjuk.

Us. Hanafi sedar bahawa Cekak bukan seni sembarangan. Seni berasal dari istana. Tempat mulia penuh kemegahan. Jika Melayu kampong menolak, mungkin Melayu bandar menerima. Strategi disusun bersama sahabat dan murid-murid setia. Cekak mula mendapat tempat. Kuala Lumpur menyaksikan percambahan kelas yang ketara. Sungai Way, Keramat, Kampong Baru tercatat antara kelas-kelas awal dibuka. Us. Hanafi bukan sekadar bersilat. Tetapi turut menyirami mereka dengan mutiara nasihat. Melayu bandar ramai yang kosong jiwa. Ustaz Hanafi sedar. Hati mereka perlu diisi. Agar menjadi mukmin sejati.

Us. Hanafi sedar perkembangan memerlukan pemangkin yang hebat. "Satu hari nanti Silat ini akan berkembang di seluruh Universiti". Doa dimakbul. Universiti Malaya membuka jalan. Melalui ahli universiti yang tamat, Cekak dibicarakan secara ilmiah oleh professional dan bijak pandai. Gerak Cekak semakin pantas. Langkah Cekak semakin berani dan tersusun. Satu persatu Universiti menerima Cekak yang dibawa Hanafi. Musuh yang dulunya sepakat, kini terpaksa menerima hakikat. Hanafi memang seorang tokoh yang hebat. Hendak dikejar payah. Hendak dihalang susah. Biarkan. Usahanya penuh siasah lagi terpuji.

Ustaz Hanafi sedar pemimpin yang hebat tidak memandang musuh sebagai masalah. Seringkali mereka dilihat umpama pendorong meningkatkan keazaman dan tumpuan. Biar musuh beribu asalkan jangan wujud musuh dalam selimut. Jangan dibiarkan gunting tersembunyi dalam lipatan. Maka permusuhan harus diperangi dengan kekuatan persaudaraan. Jangan dicaci ilmu orang. Kerana mulut badan binasa. Ukhwah sesama ahli diperkukuhkan dengan penerapan kefahaman agama. Islam cintakan kedamaian. Islam menganjur permuafakatan. Cekak menjadi wadah untuk perlaksanaan.