feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Maklumat Terkini

"Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda diperbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui, (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah, niscaya akan dibayar cukup kepada kamu, dan kamu tidak dirugikan" Ayat 60 Surah Al-Anfal

Kewajiban puasa Ramadhan

Kewajiban puasa Ramadhan

• Kebajikan

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui.”
(Al-Baqarah: 184)

• Melihat bulan Ramadhan

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Al-Baqarah: 185)

“Ketika turun kewajiban puasa Ramadhan terasa memberatkan mereka, barangsiapa yang tidak mampu dibolehkan meninggalkan puasa dan memberi makan seorang miskin sebagai keringanan bagi mereka, kemudian huhum ini dihapus oleh ayat: “Berpuasa itu lebih baik bagi kalian.” Akhirnya mereka disuruh berpuasa.”
[H.R. Bukhari]

“Islam dibangunkan atas lima perkara: menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat dan naik haji ke Baitul Haram serta puasa di bulan Ramadhan.”
[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]




Galakan berpuasa



• Doa dikabul

“Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan dan semua orang Muslim yang berdoa akan dikabulkan doanya.”
[H.R. Ahmad]

• Pengampunan dosa

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika menjauhi dosa besar.”
[H.R. Muslim]

“Sesungguhnya Jibril a.s. datang kepadaku, dia berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan: “Amin”: maka aku pun mengatakan: “Amin.”
[H.R. Muslim]

• Golongan siddiqin dan syuhada’

“Datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w, dia bertanya: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah s.a.w., aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa Ramadhan dan solat tarawih pada malam harinya, termasuk golongan manakah aku?” baginda menjawab: “Termasuk golongan siddiqin dan syuhada’.”
[H.R. Ibnu Hibban]




Keutamaan Ramadhan

Keutamaan bulan Ramadhan

• Bulan al-Quran

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Al-Baqarah: 185)

• Syaitan dibelenggu

“Jika datang bulan Ramadhan, dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggulah syaitan.”
[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Jika telah datang awal malam bulan Ramadhan, diikatlah para syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu pun yang dibuka dan dibukalah pintu-pintu syurga, tiada satu pintu pun yang tertutup, menyerulah seorang penyeru: “Wahai orang yang ingin kebaikan, lakukanlah, wahai orang yang ingin keburukan, kurangilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan dari neraka, itu terjadi pada setiap malam.”
[H.R. At-Tirmidzi]

• Malam lailatul Qadar

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam (Lail) al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam (Lail) al-Qadar? Malam (Lail) al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(al-Qadar 97: 1-5)




Keutamaan Puasa

Firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya kaum muslimin dan muslimat, kaum mukminin dan mukminat, kaum lelaki serta wanita yang benar (imannya) dan kaum lelaki serta kaum wanita yang sabar (ketaatannya), dan kaum lelaki serta wanita yang berpuasa, dan kaum lelaki dan wanita yang menjaga kehormatannya (syahwat berahinya), dan kaum lelaki serta wanita yang banyak mengigati Allah. Allah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.”
(Al-Ahzab: 35)

Dan jika kamu berpuasa itu lebih baik bagi kamu kalau kamu mengetahui.
(Al-Baqarah: 184)

• Perisai

“Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka.”
[H.R. Ahmad]

“Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin hendaklah berkahwin kerana berkahwin lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kehormatan. Barangsiapa yang belum mampu berkahwin hendaklah berpuasa kerana puasa merupakan pemutus syahwat baginya.”
[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Tidaklah ada seorang hamba yang puasa di jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim.”
[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Barangsiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka di antara dia dan neraka ada parit yang luasnya seperti antara langit dan bumi.”
[H.R. Tabarani]

• Syurga

Ditanya kepada Nabi s.a.w amalan yang boleh memasukkan ke syurga. Sabda Nabi s.a.w: “Ke atasmu puasa, tiada yang seumpama dengan itu.”
[H.R. An-Nasa'i]

“Semua amalan anak Adam dilipatgandakan, kebaikan dibalas dengan sepuluh kali (10X) sampai tujuh ratus kali (700X) ganda. Allah berfirman: “Kecuali puasa, kerana dia itu untuk-Ku dan aku yang akan membalasnya, dan meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku. Bagi orang yang puasa ada dua (2) kegembiraan: gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu dengan Tuhan-nya dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah adalah lebih wangi daripada bau misk (kasturi).”
[H.R. Muslim]

• Syafaat

“Puasa dan al-Quran akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat, puasa akan berkata: “Wahai Tuhan-ku, aku menghalangnya dari makan dan syahwat, berilah dia syafaat keranaku, al-Quran pun berkata: “Aku telah menghalangnya dari tidur di malam hari, berilah dia syafaat.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka keduanya memberi syafaat.”
[H.R. Ahmad]

• Kifarah

“Fitnah lelaki dari keluarga (isteri), harta dan jirannya boleh dihapuskan oleh solat, puasa dan sedekah.”
[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

• Masuk pintu Rayyan

“Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Rayyan, orang-orang yang puasa akan masuk pada hari kiamat nanti dari pintu tersebut, tiada orang selain mereka yang memasukinya. Jika telah masuk orang terakhir yang puasa, ditutuplah pintu tersebut, barangsiapa yang minum, tidak akan berasa haus untuk selama-lamanya.”
[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]




Tujuan Puasa

“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertakwa”
(Al-Baqarah : 183)




Cara Solat Nabi s.a.w

Bersempena bulan mubarak bulan mulia, marilah kita bersama-sama melihat dan membuat penilaian sejauh mana solat yang kita kerjakan selama ini bertepatan sepertimana yang telah diajar oleh Nabi s.a.w.

Solat cara Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.-(suntingan)

“Solatlah kamu seperti kamu melihat aku solat”

[H.R. Bukhari]

(Cara kita melihatnya adalah daripada hadis Nabi s.a.w yang sahih)

Niat

Niat ikhlas kerana Allah [H.R. Bukhari]

Takbir

Allahu akbar

“Allah Maha Besar”

[H.R. Muslim]

Mengangkat kedua tangan

(Pilih salah satu:)

· Bersamaan ucapan takbir [H.R. Bukhari]

· Selepas takbir [H.R. Bukhari]

· Sebelum takbir [H.R. Bukhari]

Mengangkat kedua tangan dengan jari lurus

[H.R. Abu Daud]

(Pilih salah satu:)

· Mengangkat setentang bahu [H.R. Bukhari]

· Mengangkat setentang telinga [H.R. Bukhari]

Meletakkan kedua tangan di atas dada

[H.R. Abu Daud]

Meletakkan tangan kanan atas tangan kiri.

[H.R. Muslim]

(Pilih salah satu:)

· Meletakkan di pergelangan tangan [H.R. Abu Daud]

· Tangan kanan menggenggam tangan kiri [H.R. An-Nasa'i]

Menundukkan kepala dan menghadap pandangan ke bumi (tempat sujud)

[H.R. Al-Baihaqi]


Bersambung ... dalam Bengkel Solat seterusnya...




Pengumuman Penting ...

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pekeliling MMK 09/13

6 Jun 2009

Semua Ahli
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.

Tuan / Puan,

MAKLUMAN SITUASI SEMASA PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA - Menggunakan Nama Persatuan Tanpa Kebenaran

Perkara diatas adalah dirujuk. Dukacita dimaklumkan bahawa pihak Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM) telah menerima aduan dari ahli-ahli bahawa suatu perhimpunan telah diadakan pada 6hb Jun 2009 bertempat di Dewan MPAJ, Pandan Indah oleh pihak-pihak tertentu yang merujukkan perhimpunan tersebut kepada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 untuk PSSCUHM.

Untuk makluman semua ahli, pihak PSSCUHM tidak menganjurkan apa-apa mesyuarat atau perjumpaan pada masa ini dan sama sekali tidak mengeluarkan sebarang Notis Mesyuarat atau mengadakan sebarang perjumpaan pada tarikh dan tempat seperti di atas.

Pihak persatuan mendapati bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mencemarkan nama baik PSSCUHM dengan menggunakan nama persatuan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut. Pihak persatuan telah membuat laporan polis dan seterusnya akan berkerjasama dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia untuk mengambil tindakan serius mengenai perkara ini.

Pihak persatuan juga akan membuat laporan polis kerana terdapatnya individu yang tidak bertanggungjawab kerana telah menipu dengan menggunakan nama PSSCUHM bertujuan untuk menganjurkan suatu perhimpunan. Individu tersebut juga telah menipu secara menyamar sebagai orang lain selain daripada dirinya sendiri, dan telah secara sengaja menyamar sebagai agen atau penjawat jawatan di PSSCUHM. Pihak persatuan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu di dalam perkara seperti ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menipu ahli-ahli dan masyarakat umum.

Pihak persatuan menasihatkan ahli-ahli supaya bertenang dan TIDAK MELIBATKAN DIRI di dalam apa-apa perjumpaan ataupun perhimpunan yang tidak sah kerana ianya adalah salah di sisi undang-undang Malaysia. Ingin ditegaskan di sini bahawa pihak persatuan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahli yang didapati melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung di dalam perhimpunan atau perjumpaan yang tidak sah.

Ahli-ahli bolehlah merujuk di laman web rasmi persatuan www.silatcekakhanafi.org atau berhubung terus dengan pejabat pengurusan jika memerlukan penjelasan dan keterangan terperinci.

Sekian, wassalam.

AMINUDIN BIN DAHLAN
Ketua Perhubungan Seranta



PSSCUH Asli...

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Pekeliling MMK 09/12

27 April 2009



Semua Ahli,

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.



Tuan / Puan,

MAKLUMAN SITUASI SEMASA PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Sukacitanya perkara diatas adalah dirujuk.

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa berdasarkan Perlembagaan Persatuan, Peraturan 7, Ceraian 23 (b), pada 28 Mac 2009 (Sabtu), pada jam 10.00 pagi, bertempat di Dewan Tertutup, Kompleks Rakan Muda, Sementa, Kelang, Selangor Darul Ehsan dengan dihadiri seramai 318 orang Perwakilan diseluruh Malaysia iaitu sekitar 77.6% peratus kehadiran daripada jumlah maksima Perwakilan sebanyak 410 orang.

Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa ini di adakan atas desakan 10 buah Cawangan Negeri di Malaysia yang menuntut Presiden memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa tersebut kerana hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2006/2009 yang telah gagal melaksanakan amanahnya berdasarkan Perlembagaan Persatuan dan ketetapan Mesyuarat Agung Perwakilan serta enggan memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Tahun 2006, 2007 dan 2008 dan Minit Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 telah difailkan dengan sempurna di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 31 Mac 2009.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap En.Ramlee Bin Abd.Rahman (Mantan Setiausaha Agung), En.Amrahi Bin Buang (Mantan Bendahari Agung), En.Abd Azman Bin Johan dan En.Kamarul Baharaini Bin Abd.Latiff (Mantan Juruaudit Dalaman) kerana telah enggan dan engkar untuk menyerahkan Penyata Aktiviti dan Kewangan PSSCUHM pada 26hb April 2009.

Adalah dimaklumkan juga bahawa pembubaran 10 Buah Cawangan Negeri oleh MMK 2006/2009 adalah tidak sah kerana Mesyuarat Agung Luar Biasa Cawangan Negeri yang hilang kepercayaan dan keyakinan kepada En.Ramlee Bin Abd.Rahman (mantan Setiausaha Agung) telah diadakan pada bulan Februari 2009 dan MMK 2006/2009 telah tamat tempohnya selama 3 tahun pada 11hb Mac 2009.

Turut dimaklumkan bahawa pengguguran keahlian beberapa orang ahli Seumur Hidup persatuan ini adalah tidak sah kerana pemakluman tersebut hanya diterima selepas tarikh 21hb April 2009, iaitu selepas Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 terbentuk pada 28hb Mac 2009.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan kepada pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan kesahihan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa mahupun Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 tersebut, bolehlah mencabarnya dimana-mana mahkamah di Malaysia yang merupakan badan yang berwibawa untuk menentukan samada sesuatu Mesyuarat Agung tersebut sah ataupun tidak.

Suka saya tegaskan disini bahawa berkuatkuasa selama 3 tahun, bermula daripada 28hb Mac 2009, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditadbir oleh Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 (rujuk laman web rasmi persatuan www.silatcekakhanafi.org) yang telah dipilih pada Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa yang telah diadakan pada 28hb Mac 2009 dan akan berakhir tempohnya pada 27hb Mac 2012. Ahli-ahli juga dinasihatkan supaya berhubung terus dengan pejabat pengurusan jika memerlukan penjelasan dan keterangan terperinci.



Sekian, wassalam.





MOHAMAD AMIN BIN ZAINUL ABIDIN

Setiausaha Agung




USTAZ HANAFI DALAM KENANGAN ... Episod 7




Cabaran seterusnya :

Tentangan dari Silat Khalimah

Kegagalan Azmi Long dan Redzuan Long mendapat kedudukan yang tinggi dalam Silat Cekak dan pemecatan mereka telah menimbulkan keazaman mereka untuk terus menentang Ustaz Hanafi dan Silat Cekak. Mereka malah telah berpakat dengan bekas guru Silat Cekak iaitu Encik Yahaya Said untuk terus melaksanakan agenda mereka itu disamping terus mengembangkan Silat Kalimah. Melalui usaha mereka, silat tersebut berjaya didaftarkan pada 26 November 1971 di Pulau Pinang. Silat tersebut telah bergerak di Kuala Lumpur dan berpusat di Batu Caves. Kehadiran Silat Kalimah telah mengelirukan orang ramai dengan dakwaan Silat Cekak berasal dari Silat Kalimah.

Susulan dari itu, Silat Kalimah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyaingi Silat Cekak dan telah menjalankan berbagai usaha untuk menghalang perkembangan Silat Cekak. Mereka telah melakukan usaha penentangan tersebut termasuk di seminar atau persidangan persilatan yang di adakan pada waktu itu serta di dalam penerbitan-penerbitan majalah. Antara penentangan mereka yang dapat direkodkan adalah seperti berikut:

a- Tentangan di Konvensyen Seni Silat Malaysia

Pada konvensyen tersebut Ustaz Hanafi telah membentangkan kertas kerja beliau tentang Silat Cekak di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia pada 13 Julai 1973. Redwan Long telah mengambil kesempatan pada konvensyen tersebut untuk mencabar kesahihan Silat Cekak dan menyatakan bahawa Silat Cekak adalah cabang kepada Silat Kalimah. Namun Ustaz Hanafi telah menyediakan jawapannya terlebih dahulu kerana beliau tahu ramai pengamal silat yang tidak sehaluan dengan kaedah dan perjuangan Silat Cekak. Ustaz Hanafi telah mengedarkan borang pendaftaran Azmi dan Redzuan Long yang belajar Silat Cekak di Sungai Petani pada 10 Januari 1969. Silat Cekak telah bergerak sejak tahun 1965 di bawah organisasi PSSBSK sedangkan Silat Kalimah hanya didaftarkan pada 26 November 1971. Ini adalah jelas bahawa Silat Cekak telah terlebih dahulu muncul dan Silat Kalimah hanya muncul selepas enam tahun kemudian.

b- Tentangan di dalam majalah Dewan Masyarakat

Ustaz Hanafi telah menghasilkan satu atikel tentang Silat Cekak dan disiarkan di dalam majalah Dewan Masyarakat pada bulan Ogos 1973. Artikel yang bertajuk ’Silat Cekak Suatu Pusaka Bangsa’ dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel tersebut telah menyebabkan Azmi dan Redwan Long menyiarkan satu artikel bertajuk ’Silat Cekak Cabang Silat Khalimah’ dan disiarkan di dalam majalah yang sama pada bulan September 1973. Tujuan mereka adalah untuk menyangkal kenyataan Ustaz Hanafi sebelumnya dan mengelirukan masyarakat. Namun Ustaz Hanafi tidak berdiam diri dan telah berjaya menyediakan satu artikel susulan yang bertajuk ’Keaslian Silat Cekak Usah Diragukan’ untuk siaran pada bulan Oktober 1973 majalah yang sama. Dalam artikel tersebut, Ustaz Hanafi telah menjawab segala tuduhan dan menyertakan bukti-bukti yang jelas tentang kedudukan Azmi dan Redwan Long.

c- Tentangan di Konvensyen Guru-guru Silat Melayu

Tentangan seterusnya ialah sewaktu konvensyen Guru-guru Silat Melayu yang dianjurkan oleh Silat Lincah di Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Bahru pada 2 March 1975. Silat Cekak dan Silat Khalimah telah diundang dan beberapa pertubuhan silat lain telah diundang. Kehadiran Silat Khalimah menyebabkan Ustaz Hanafi membuat persediaan rapi. Beliau juga telah menghasilkan satu artikel bertajuk ’Asal-usul Silat Cekak’ di mana penekanan dibuat terhadap kedudukan Silat Cekak dan Silat Khalimah serta bukti-bukti lengkap disediakan. Ustaz Hanafi juga telah menjemput Shafie Darus dan Mat Tarzan dari Kedah untuk memberi penjelasan mengenai kedudukan Silat Cekak yang sebenarnya. Encik Shafie Darus hadir untuk menjelaskan bahawa Silat Cekak telah lahir di rumah beliau manakala Mat Tarzan pula adalah untuk membuktikan bahawa Azmi dan Redwan Long pernah belajar Silat Cekak di Sungai Petani dari Ustaz Hanafi.

Sewaktu persidangan, seperti yang dijangkakan, Redwan Long dan Encik Yahya Said telah menimbulkan kembali isu Silat Cekak diambil dai Silat Kalimah. Dengan serta-merta artikel yang telah disediakan diedarkan kepada peserta dan Ustaz Hanafi telah berjaya mengemukakan bukti yang cukup lengkap untuk menangkis tuduhan yang dilemparkan. Di acara kemuncak konvesyen, sewaktu pertunjukan silat yang diadakan di Stadium Negara pada sebelah malamnya, Ustaz Hanafi telah memperkenalkan nama Silat Cekak Silat Papan Sekeping. Tindakan itu adalah untuk makluman umum bahawa Silat Cekak adalah silat yang benar-benar asli dan silat Cekak yang terlebih dahulu memperkenalkan nama tesebut dan bukanlah Silat Kalimah.

Kejayaan Ustaz Hanafi menghadapi tentangan hebat dari Silat Kalimah telah tidak secara langsung memberi kekuatan dan membantu perkembangan di pusat pengajian tinggi. Namun tentangan Silat Kalimah masih wujud secara kecil-kecilan hatta hingga ke IPT. Contohnya pernah terjadi pertarungan persahabatan antara penuntut Silat Cekak (anak murid Ustaz Hanafi) dengan penuntut Silat Kalimah(anak murid Yahaya Said). Peristiwa ini berlaku pada jam 11 pagi 7 September 1974 di bilik Pusat Bahasa, Universiti Malaya Kuala Lumpur. Encik Md Nasir Md Arshad (sekarang menjawat jawatan Naib Presiden, Tn Hj) penuntut Silat Cekak telah bertarung dengan Encik Rosli Ariffin seorang penuntut Silat Kalimah untuk membuktikan kebenaran masing-masing. Di akhir pertarungan itu penuntut Silat Cekak telah berjaya mengalahkan penuntut Silat Kalimah. Kejayaan tersebut merupakan satu kejayaan manis yang telah membuktikan kebenaran berada pada Silat Cekak dan juga Ustaz Hanafi.

Kesimpulannya, terdapat dua elemen penentangan yang dihadapi oleh Ustaz Hanafi dalam usaha mengembangkan Silat Cekak. Pertama adalah tentangan dari anak murid yang cuba menjatuhkan maruah Ustaz Hanafi dengan tujuan untuk menghilangkan kepercayaan dan pengaruh Ustaz Hanafi kepada penuntut silat. Keduanya ialah penentangan terhadap dasar dan polisi Ustaz Hanafi untuk mengembangkan Silat Cekak oleh Silat Kalimah. Kedua-dua tentangan tersebut berjaya diatasi oleh Ustaz Hanafi melalui kebijaksanaan beliau.

Perkembangan selanjutnya

Zaman penuh rintangan yang dihadapi oleh Ustaz Hanafi selama 10 tahun tahun bermula pada tahun 1965 telah berakhir menjelang tahun 1976. Satu perayaan 10 tahun yang diadakan secara besar-besaran pada 28 Disember 1975 dianggap titik permulaan kepada perkembangan Silat Cekak yang lebih gemilang.

Silat Cekak telah mula diterima oleh semua golongan masyarakat. Jentera pentadbiran persatuan juga diperkemaskan. Bagi mengekalkan mutu pentadbiran persatuan, perlantikan jawatan dalam persatuan adalah oleh mereka-mereka yang mahir tentang Silat Cekak. Dasar ini dapat menentukan bahawa mereka yang dilantik akan berusaha menegakkan perjuangan persatuan tanpa mempunyai tujuan atau niat yang lain. Oleh itu pentadbian persatuan akan menjadi lebih baik dan dapat berjalan lancar serta dapat mencapai matlamat yang telah dicita-citakan.

Selanjutnya selepas itu Silat Cekak dapat membuka beberapa cawangan di seluruh negara dan juga kelas di beberapa pusat pengajian tinggi dan sudah tentu ini merupakan satu kejayaan yang amat besar dan bermakna kepada perjuangan Ustaz Hanafi.

Pengaruh Ustaz Hanafi

Dalam mengembangkan Silat Cekak, Ustaz Hanafi mempunyai pengaruh yang luas ke atas anak-anak murid beliau. Ustaz Hanafi selaku Presiden dan Guru Utama sentiasa menjaga peribadi beliau supaya dapat dijadikan contoh kepada anak-anak murid beliau. Ustaz Hanafi sejak dari usia muda beliau telah menjauhkan diri dari melakukan perbuatan maksiat. Ustaz Hanafi tidak minum arak, berjudi dan terlibat atau berfoya-foya dengan wanita. Beliau sentiasa menepati janji dan tidak bercakap bohong. Beliau juga berpendirian tegas, berani dan tidak mahu mengaku kalah dalam apa-apa perkara atau masalah yang dihadapi.

Ustaz Hanafi mengajar silat bukan hanya kerana silat semata-mata, tetapi dengan tujuan untuk membimbing belia-belia ke jalan yang benar di sisi agama Islam. Ceramah-ceramah dan fahaman keagamaan yang diberikan secara tidak langsung telah dapat mengubah corak kehidupan anak-anak murid beliau. Pelajaran silat yang diajar oleh Ustaz Hanafi tidak berbeza baik yang berpangkat ataupun tidak. Semuanya dilayan sama rata. Bagi yang layak telah dilantik menjadi jurulatih untuk membantu perkembangan Silat Cekak. Perlantikan jurulatih oleh Ustaz hanafi adalah berdasarkan kepada empat faktor utama iaitu:

1- Penuntut yang telah tamat dan mahir ilmu silat cekak
2- Penuntut yang menghargai dan mencintai silat cekak
3- Penuntut yang sanggup berkorban kerana persatuan
4- Mempunyai peribadi yang baik

Pergaulan Ustaz Hanafi dengan anak murid beliau juga tiada tingkat dan tarafnya. Ustaz hanafi tidak memberi layanan yang istimewa kepada pegawai tinggi dan memandang hina kepada penuntut yang miskin. Kebijaksanaan Ustaz Hanafi memimpin silat ini menyebabkan ramai penuntut-penuntut beliau yang amat menghormati beliau dan sama-sama membantu mengembangkan Silat Cekak. Bagi anak-anak murid beliau yang telah belajar silat ini, mereka merasa amat bersyukur dapat mempelajari silat dan berdamping dengan Ustaz Hanafi serta dapat mempelajari rahsia-rahsia kebatinan Ustaz Hanafi.



Pandangan anak murid Ustaz Hanafi yang amat dikasihi iaitu Amruddin Buang terhadap Ustaz Hanafi ialah beliau merupakan seorang yang tegas, pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan, kemas dan teliti dalam sebarang hal. Ceramah-ceramah agama yang didengar lengkap dengan alasan-alasannya, memenuhi kehendak rahsia-rahsia agama hingga dapat mengenal antara kawan dan lawan, dapat membezakan dan menganalisa hal ehwal dunia dan masyarakat serta cara-cara mempengaruhi berbagai-bagai jenis masyarakat. Beliau juga telah merasakan diri beliau lebih yakin dan optimis di dalam hidup ini selepas berguru dan bergaul dengan Ustaz Hanafi.



Begitu juga dengan anak-anak murid Ustaz Hanafi yang lain, semuanya berpuas hati dan dapat merasakan perubahan dalam diri masing-masing. Mereka menjadi lebih yakin dan keyakinan itu berlipat kali ganda setelah mendengar ceramah-ceramah agama dan bergaul dengan Ustaz Hanafi untuk memperolehi rahsia kebatinan Ustaz Hanafi supaya dapat menjadi insan yang sebenar.

Zaman Gemilang Silat Cekak Selepas 10 Tahun (1965 – 1975)

Zaman perkembangan Silat Cekak berlaku selepas 10 tahun menempuh badai dan gelombang besar. Cabaran demi cabaran dapat diharungi dan semuanya dapat ditangani dengan bijaksana oleh Ustaz Hanafi. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa zaman perjuangan Ustaz Hanafi di Kuala Lumpur merupakan permulaan era Silat Cekak. Di sinilah ujian terakhir sebelum Ustaz Hanafi diangkat menjadi pemimpin besar pergerakan Silat Cekak.

Selepas tahun 1975 / 76 boleh juga dikatakan masa tersebut merupakan zaman ’senang’ untuk Ustaz Hanafi. Beliau juga tidak lagi menghadapi masalah kewangan yang kronik apabila ramai ahli masyarakat dan juga penuntut IPT yang mempelajari Silat Cekak. Isteri dan anak-anak beliau juga mendapat ’kesenangan’ tersebut hasil dari perkembangan Silat Cekak.

Zaman Selepas Ustaz Hanafi (era selepas tahun 1986)

Setelah berjuang bersama Silat Cekak selama 21 tahun, pada 13 Ogos 1986, Ustaz Hanafi meninggal dunia pada usia 63 tahun. Beliau meninggalkan perjuangan Silat Cekak kepada kita semua untuk diteruskan.

Sebelum beliau meninggal dunia, Ustaz Hanafi tidak pula menamakan atau melantik sesiapa menjadi pengganti beliau sebagai Guru Utama Silat Cekak. Itulah satu masalah diperingkat awal yang dihadapi oleh ahli-ahli lama pada waktu itu. Oleh kerana hanya Ishak Itam tampil untuk menuntut jawatan tersebut, maka perlantikan beliau telah diuruskan oleh pihak Majlis Muafakat Silat Cekak dan selepas itu beliau menjadi guru selama tujuh (7) tahun sehingga tahun 1993. Selepas itu Encik Md Radzi pula dilantik sebagai pengganti selepas dicadangkan oleh Amruddin Buang di dalam mesyuarat Majlis Muafakat Tertinggi dan beliau menjalankan tugas selama 13 tahun sehinggalah pada 13 Ogos 2006. Dan kini perjuangan ini disambung dan diterajui oleh YM Encik Mohd Radzi Bin Hj Hanafi Hj Ahmad selaku Presiden dan Guru Utama.





USTAZ HANAFI DALAM KENANGAN ... Episod 6


Penghijrahan Ke Kuala Lumpur

Setelah hampir lima tahun mengembangkan Silat Cekak di bumi Kedah Darul Aman, Ustaz Hanafi merasakan beliau perlu melangkah lebih jauh dalam usaha untuk mengembangkan silat ini. Perkembangan di negeri Kedah adalah sebagai permulaan, namun jika ingin melakukan kelainan dan mendapat kejayaan yang lebih besar, beliau perlu lebih berani melakukan sesuatu yang melangkaui kebiasaan serta berani menghadapi cabaran yang lebih besar. Oleh yang demikian, Ustaz Hanafi telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, kota metropolitan yang menjanjikan cabaran yang lebih hebat dan membuka era baru di dalam perkembangan Silat Cekak.

Pada akhir tahun 1970, Ustaz Hanafi telah berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan cita-cita beliau mengembangkan Silat Cekak dengan lebih luas. Namun begitu beliau tahu bahawa keputusan yang dibuat adalah satu keputusan yang amat berat. Beliau sekali lagi merantau meninggalkan anak-anak dan keluarga beliau bagi meneruskan hasrat untuk mengembangkan Silat Cekak. Ustaz Hanafi tiada saudara mara yang di kenali di Kuala Lumpur kecuali seorang kawan lama di Kedah yang bernama Hussain Ahmad yang tinggal di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Melalui Hussain Ahmad lah Ustaz Hanafi diperkenalkan dengan beberapa orang kawan yang dapat membantu Ustaz Hanafi untuk memulakan kegiatan beliau di Kuala Lumpur. Malah kedatangan beliau ke Kuala Lumpur juga menghadapi masalah apabila kereta yang beliau telah berjanji untuk tumpang telah bertolak terlebih dahulu. Ustaz Hanafi terpaksa mencari alternatif lain dengan menumpang kenderaan orang untuk datang ke Kuala Lumpur.

Perkembangan Silat Cekak di Kuala Lumpur

Perkembangan awal Silat Cekak di Kuala Lumpur juga memberikan Ustaz Hanafi masalah yang sama sewaktu beliau memulakan pergerakan Silat Cekak di Kedah. Tiada badan atau persatuan yang sah yang boleh digunakan untuk dijadikan jentera untuk mengembangkan silat. Namun, melalui usaha dan bantuan kawan-kawan juga, Ustaz Hanafi telah mendapat pertolongan sebuah persatuan bernama Persatuan Bawean Putra untuk mengembangkan Silat Cekak. Kelas silat pertama di anggotai oleh 12 orang yang berlajar silat di Kampung Bumiputra, Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Kesemua 12 orang penuntut telah menamatkan pelajaran silat mereka antaranya Mohamad bin Abdullah dan isterinya Lijah, Shuib Hj Ahmad, Md Din Awang, Hamzah, Rahim dan Rahman Khalid. Kejayaan menamatkan kelas yang pertama ini memberikan semangat yang lebih tinggi untuk Ustaz Hanafi meneruskan usaha beliau.

Untuk meneruskan perkembangan silat ke peringkat yang lebih luas, Ustaz Hanafi telah mengusahakan supaya kegiatan silat ini didaftarkan. Ustaz Hanafi telah mendapatkan pertolongan sahabat beliau iaitu Abdul Rahman Mahadi yang ketika itu berada di Kedah untuk merangka perlembagaan untuk persatuan. Jadi selepas berusaha bersungguh-sungguh, pada 19 Ogos 1971, kegiatan Silat Cekak telah didaftarkan atas nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia. Di peringkat awal persatuan ini menggunakan alamat rumah Hussain Ahmad di No. 39, Lorong Keramat 19, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur sebagai alamat persatuan. Di rumah inilah perhimpunan dan aktiviti silat dijalankan. Pak Hussain juga telah membenarkan kedai beliau di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur dijadikan sebagai tempat perjumpaan ahli-ahli Silat Cekak pada waktu itu. Perkembangan seterusnya adalah apabila kelas kedua di Sungai Way, Kuala Lumpur dapat dibuka pada 6 Disember 1971 disusuli beberapa kelas di Kampung baru dan sekitar Kuala Lumpur.

Silat Cekak selepas itu berkembang agak memberangsangkan dan semakin mendapat sambutan orang ramai. Namun langit tidak selalunya cerah, setelah berusaha keras untuk mengembangkan silat ini, mulalah berlakunya beberapa insiden dan perkara-perkara yang memberi masalah kepada Ustaz Hanafi. Terdapat beberapa halangan dan cabaran sepanjang beliau berusaha untuk mengembangkan silat ini.

a- Tentangan dari anak murid dan fitnah wanita

Selepas tamat kelas yang pertama di Kg Bumiputera Kuala Lumpur, Ustaz Hanafi telah melantik Mohamad bin Abdullah (tamat kelas pertama di Kg Bumiputera) menjadi jurulatih untuk membantu beliau mengajar silat. Walaubagaimanapun, setelah agak lama dan mempunyai pengaruh, Mohamad telah cuba pula mengambil alih dan mengendalikan kelas persilatan dengan cara beliau sendiri. Mohamad juga telah mula menjalankan kegiatan yang kurang sihat iaitu dengan cara menghasut para penuntut supaya membenci Ustaz Hanafi. Hatta beliau pernah cuba menjatuhkan Ustaz Hanafi sewaktu Ustaz Hanafi menunjukkan buah silat di dalam kelas. Namun percubaan Mohamad tidak berjaya. Selepas kegagalan beliau itu, beliau telah cuba menjalankan taktik berbaik-baik dengan Ustaz Hanafi. Sehinggakan beliau mempelawa Ustaz Hanafi tinggal di rumah beliau. Ustaz Hanafi telah menerima pelawaan tersebut kerana Ustaz Hanafi sendiri tiada tempat tinggal yang tetap. Ada beberapa orang yang tinggal bersama Muhamad pada ketika itu iaitu isteri Muhamad yang bernama Lijah dan rakan Lijah bernama Rubiah. Ketiga-tiga mereka ini telah mempelajari Silat Cekak dari Ustaz Hanafi.

Tidak lama selepas itu, Ustaz Hanafi telah melantik Amruddin Buang dan Malino Junsi menjadi jurulatih. Perlantikan tersebut adalah untuk mengimbangi pengaruh Muhamad di dalam kelas persilatan dan juga bagi membantu mengajar silat. Kedua-dua mereka baru berusia 21 tahun ketika dilantik menjadi jurulatih. Tindakan Ustaz Hanafi melantik kedua-dua mereka menyebabkan Muhamad tidak puas hati . Sehingga beliau pernah berkata seperti berikut kepada Ustaz Hanafi: “Mereka tidak layak mengajar silat kerana masih mentah dan kurang berkebolehan, dari kesetiannya belum lagi dapat dipastikan”. Namun Ustaz Hanafi menjawab ‘Jika tidak berkebolehan aku boleh mengajar hingga pandai’. Dari kata-kata yang diluahkan oleh Muhamad, Ustaz Hanafi telah mengetahui tentang perangai dan hatibudi Muhamad tidak elok.

Malah Muhamad seterusnya memberi masalah yang lebih besar lagi kepada Silat Cekak dan Ustaz Hanafi. Ini berlaku apabila beliau telah pergi ke gelanggang Silat Lincah dan mencaci penuntut-penuntut Lincah yang sedang berlatih dan ini telah menimbulkan selisih faham antara Silat Cekak dengan Silat Lincah. Mahaguru Silat Lincah, Omar Din yang tidak puas hati dengan tindakan Muhamad itu telah mencabar Ustaz Hanafi untuk beradu kekuatan. Ustaz Hanafi telah menerima cabaran tersebut. Walaubagaimanapun persetujuan untuk bertarung itu hanya dilakukan selepas 6 bulan dari cabaran yang diterima, itupun selepas Ustaz Hanafi bertemu dengan Omar Din. Tempat pertarungan telah ditetapkan di Dewan Belia Kampung Pandan pada 26hb Februari 1972. Permit polis juga telah diperolehi. Walaubagaimanapun disaat pertarungan hampir berlaku, pihak polis telah membatalkan permit tersebut dan penuntut kedua-dua persilatan telah diminta bersurai. Dengan itu juga pertarungan yang diatur tidak berlaku seperti mana yang dirancang. Pembatalan tersebut adalah atas usaha sahabat Ustaz Hanafi sendiri iaitu Hussein Ahmad. Beliau berbuat demikian kerana bimbang akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini dan akibatnya kelak boleh menjejaskan perkembangan Silat Cekak dan masa depan silat ini. Walaupun Muhamad yang memulakan peristiwa dengan Silat Lincah tersebut, tiada tindakan tegas yang diambil terhadap Muhamad kerana Ustaz Hanafi masih mahu melihat sejauh mana muslihat yang akan dilakukan oleh Muhamad.

Fitnah Wanita

Namun selepas mengetahui helah Muhamad dan isteri beliau, Lijah untuk melakukan sesuatu yang tidak elok, Ustaz Hanafi telah keluar dan berpindah keluar dari rumah Muhamad. Beliau telah menyewa di sebuah rumah di Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Muhamad masih mahu cuba untuk menguasai pentadbiran Silat Cekak. Selanjutnya beliau telah melakukan pakatan dengan isteri beliau Lijah, Rubiah, Osman dan Tambi Beranang untuk menjatuhkan maruah Ustaz Hanafi. Osman telah menyuruh isteri beliau bersubahat dengan cara pergi dan tidur disebelah Ustaz Hanafi sewaktu Ustaz Hanafi sedang tidur nyenyak di biliknya pada suatu malam. Muhamad dan Lijah pula sudah bersedia dengan kamera untuk mengambil gambar kononnya Ustaz Hanafi berlaku sumbang dengan Lijah. Gambar yang diambil nanti akan digunakan sebagai bukti untuk mengugut Ustaz Hanafi supaya menyerahkan wang RM500.00 kepada Osman dan keluar dari Kuala Lumpur. Jika tidak rahsia tersebut akan dibocorkan.

Ustaz Hanafi tidak tunduk dengan tekanan tersebut. Beliau telah dengan berani mempertahankan kebenaran beliau. Beliau malah telah memaklumkan kepada pihak polis terhadap orang-orang yang mengugut beliau. Susulan dari itu, tindakan pemeriksaan doktor telah dilakukan terhadap isteri Osman dan didapati isteri Osman sememangnya seorang pelacur.

Berikutan itu pula, Muhamad membuat fitnah kononnya Ustaz Hanafi telah melakukan perkara yang tidak senonoh dengan isteri beliau Lijah sebanyak 41 kali (sebab itu Muhamad selepas itu dikenali sebagai Mad 41) dan setiap perlakuan tersebut telah dicatitkan dalam buku catitannya beliau kononnya. Apabila cerita tersebut tersebar, ramai juga anak murid Ustaz Hanafi yang mula memandang serong kepada beliau, namun apabila mengetahui cerita tersebut adalah fitnah, mereka mula bersimpati dengan Ustaz Hanafi.

Ugutan Bunuh

Kegagalan Muhamad menjatuhkan Ustaz Hanafi telah membuatkan beliau bertindak dengan lebih agresif. Beliau pernah cuba membunuh Ustaz Hanafi tetapi gagal, malah beliau juga telah mempengaruhi penuntut Silat Cekak bernama Hamzah untuk membunuh Ustaz Hanafi secara curi dengan kerambit ketika ustaz Hanafi sedang minum.

Osman pula sebenarnya seorang penuntut yang biasa dibantu oleh Ustaz Hanafi dari segi kewangan dan tempat tinggal . Tetapi kerana tamak dan inginkan wang yang lebih, beliau sanggup mengugut Ustaz Hanafi untuk mendapatkan wang yang lebih. Tetapi usaha beliau juga gagal.

Manakala Tambi Beranang pula merupakan seorang tokoh lama yang mempunyai pengaruh yang besar di Kuala Lumpur. Beliau pernah mengugut supaya Ustaz Hanafi keluar dari Kuala Lumpur dalam masa 24 jam jika tidak mahu dibunuh oleh beliau. Rancangan beliau juga gagal. Ustaz Hanafi tetap berdiri teguh berkat dengan keyakinan dan kebenaran yang ada pada beliau.

Ekoran dari tindakan melampau oleh beberapa anak murid beliau iaitu Muhamad, Lijah, Rubiah, Osman dan Tambi Beranang, Ustaz Hanafi telah tidak membenarkan mereka terlibat dengan pergerakan Silat Cekak. Tindakan tersebut diambil setelah mereka tidak berubah walaupun telah diberi peluang oleh Ustaz Hanafi untuk sekian lama.

Pengajaran cerita

Suka disebut kembali suka duka Ustaz Hanafi menghadapi kerenah anak murid beliau. Beliau difitnah, diugut dan diganggu dengan berbagai perlakuan serta tindak-tanduk yang tidak elok tetapi masih terus dan tetap mempertahankan diri beliau. Harus juga diingatkan bahawa Ustaz Hanafi berhadapan dengan masalah tersebut seorang diri untuk mempertahankan diri.





USTAZ HANAFI DALAM KENANGAN ... Episod 5


Permulaan Perkembangan Silat Cekak dan cabaran yang di hadapi

i- Pertemuan dengan Encik Yahaya Said

Pertemuan kedua Ustaz Hanafi dengan Yahaya Said berlaku selepas Ustaz Hanafi berniaga apam balik di Yala, Siam. Ustaz Hanafi mengetahui bahawa Yahaya Said ada memiliki ilmu silat yang bermutu tinggi, tetapi tidak tahu apakah nama silat itu. Pertemuan yang berlaku pada bulan Disember 1965 telah mencetuskan satu aspirasi baru dalam perkembangan silat ini apabila Yahaya Said bersetuju untuk menurunkan ilmu silat ini kepada Ustaz Hanafi. Yahaya Said bagaimanapun mahukan bayaran yang agak tinggi bagi beliau mengajar Ustaz Hanafi. Oleh kerana kehidupan beliau yang susah, maka adalah amat sukar memenuhi permintaan oleh Yahaya Said yang meminta bayaran yang tinggi. Oleh itu jalan terbaik yang dibuat oleh Ustaz Hanafi ialah mengumpulkan seberapa ramai orang yang mahu belajar silat itu. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, Ustaz Hanafi berjaya mengumpulkan seramai 20 orang untuk belajar silat tersebut. Penuntut-penuntut tersebut termasuk Ustaz Hanafi telah diijazahkan pada 28 Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385H disebuah rumah yang amat bersejarah iaitu rumah Shafie bin Darus (juga sebagai penuntut baru) di alamat Batu 4 ¾ , Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah.

ii- Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah (PSSBSK)

Walaupun seramai 20 orang penuntut baru telah diijazahkan untuk belajar silat, namun kegiatan persilatan ini tidak boleh dijalankan tanpa pendaftaran yang sah. Dengan bantuan sahabat beliau yang bernama Abdul Rahman Mahadi yang merupakan ahli jawatankuasa Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah (PSSBSK), telah berjaya mendapat persetujuan dari jawatankuasa PSSBSK (Ketua Satu pada waktu itu adalah Shahnon Ahmad, Prof. Datuk) untuk melantik Ustaz Hanafi menjadi Ketua Seksi Seni Silat. Kebenaran untuk menjalankan kelas latihan silat juga telah diluluskan.

Selepas dilantik menjadi Ketua Seksi Seni Silat PSSBSK, Ustaz Hanafi melalui surat beliau kepada Encik Yahaya Said bertarikh 1hb. Januari 1966 TELAH MELANTIK Encik Yahaya Said menjadi guru silat untuk mengajar ahli-ahli yang berminat untuk belajar silat.

Elok juga kita lihat apakah kandungan surat yang ditulis oleh Ustaz Hanafi kepada Encik Yahaya Said (diambil sepenuhnya dari kandungan tersebut):

Rujukan : Bil ( 2 ) dlm PSSBSK /Seksi Silat 1

Tarikh : 1 hb. January , 1966

Kapada:
Inche Yahaya Bin Said,
Kuala Kurau, PERAK

Inche,
Perkara : SURAT LANTIKAN

Menurut kuasa yang di-berikan kapada saya oleh Jawatan Kuasa Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah, maka ini-lah saya Hanafi bin Ahmad, Ketua Seksi Seni Silat PSSB Sri Kedah, dengan rasa hormat dan perhargaan yang tinggi melantek Inche menjadi Guru Silat Bagi Perkumpulan ini.

2. Bagi melaksanakan tujuan di-atas maka Seksi Seni Silat PS.S.B.Sri Kedah akan menubuhkan pasokan2 yang akan mengikuti kursus silat dari semasa ka-semasa dan Inche di-persilakan mengajar menurut peraturan2 dan sharat2 yang akan di-tentukan dengan perundingan di-antara Inche dengan Perkumpulan ini.

Dalam usaha mengangkat batang yang terendam dan memperkembang seni asli bangsa kita maka saya harap urusan kita ini akan mendapat pertunjok dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala dan semoga keikhlasan dan kejujoran akan menjadi pegangan kita selama2-nya.

Sekian-lah sahaja.

Adalah saya yang berkhidmat,

TT
(Hanafi Haji Ahmad)
KETUA
Seksi Seni Silat P.S.S.B.Sri Kedah


Salinan Kepada:
Setiausaha Kehormat,
Perkumpulan Seni Sari Budaya,
SRI KEDAH




Selepas beberapa ketika silat ini dihidupkan, barulah Encik Yahaya Said menamakan silat tersebut sebagai SILAT CEKAK . Kesemua penuntut awal tersebut telah berjaya menamatkan pelajaran silat antaranya adalah seperti Shafie Darus, Mohd Zain Shafie, Ramli Shafie, Ahmad Shafie, Fadhil Jaafar, Osman Ariffin, Din Ahmad, Abd. Rahman Mahadi , Ishak Haji Ahmad dan Shuib Hj Ahmad serta Ustaz Hanafi Hj Ahmad sendiri.

iii- Penentangan terhadap usaha Ustaz Hanafi

Selepas Silat Cekak berjaya dihidupkan dan kelas silat dijalankan di bawah PSSBSK, Silat Cekak mula mendapat perhatian. Namun begitu tidak semua orang yang menyukai tindakan Ustaz Hanafi mengembangkan Silat Cekak ini. Oleh itu, sepanjang beliau menjalankan kerja-kerja mengembangkan silat ini, terdapat ramai guru-guru silat yang tidak bersetuju dengan beliau dan telah melakukan berbagai cara untuk menghalang Ustaz Hanafi mengembangkan Silat Cekak. Terdapat beberapa tentangan yang berlaku antaranya tentangan oleh guru-guru silat, cubaan membunuh dengan menyapu racun berbisa pada kasut Ustaz Hanafi yang menyebabkan Ustaz Hanafi hampir menemui maut, tentangan dari golongan-golongan politik yang melihat Ustaz Hanafi sebagai seorang ahli parti pembangkang yang semakin berpengaruh.

a- Tentangan dari Encik Yahaya Said (guru silat Ustaz Hanafi sendiri)

Tentangan dan dugaan yang hebat sebenarnya datang dari guru silat beliau sendiri iaitu Encik Yahaya Said. Walaupun Encik Yahaya Said pada mulanya telah bersetuju menyerahkan silat ini kepada Ustaz Hanafi untuk meneruskan perkembangannya, namun apabila melihat Ustaz Hanafi mula mendapat tempat pengaruhnya semakin besar, maka Encik Yahaya Said telah tidak begitu senang dengan keadaan tersebut. Ini mungkin disebabkan Ustaz Hanafi lebih popular dari beliau yang merupakan guru kepada Ustaz Hanafi. Kemudian Encik Yahaya Said mengambil keputusan menarik diri dari PSSBSK dan menjalankan kegiatan silat secara bersendirian tanpa naungan PSSBSK.

Selepas itu, Encik Yahaya Said telah menubuhkan Silat Kalimah dan mengajar silat tanpa ada apa-apa hubungan dengan Ustaz Hanafi dan PSSBSK lagi. Namun apa yang dilakukan oleh Yahaya Said tidak beroleh kejayaan. Beliau akhirnya mengalah dan pulang ke kampung beliau di Batu Kurau , Taiping, Perak, pada tahun 1966.

b- Tentangan dari anak murid

Pada tahun 1968, Ustaz Hanafi berjaya membuka satu lagi kelas silat di Sungai Petani, Kedah. Antara penuntut yang mempelajari silat tersebut adalah Azmi Long dan Redwan Long. Mereka berdua dengan beberapa rakan yang lain seperti Hashim Ismail, Ahmad Tarzan, darus Chin dan Yadin Hashim telah berjaya menamatkan pelajaran silat ini. Namun begitu, atas sebab disiplin dan Azmi Long dan Redwan Long telah dipecat dari menjadi ahli PSSBSK dan dari ahli Silat Cekak. Semua ahli jawatankuasa PSSBSK juga telah bersetuju dengan pemecatan tersebut.

Kedua-dua mereka telah tidak puas hati terhadap tindakan pemecatan tersebut. Mereka telah menyerang Ustaz Hanafi di stesen keretapi Butterworth pada hari Jumaat 15 Mei 1970. Ketika itu Ustaz Hanafi sedang duduk di dalam kereta. Ustaz Hanafi telah berjaya mengatasi serangan mereka dan sejak itulah kaedah menangkis serangan sewaktu sedang duduk telah diperkenalkan oleh Ustaz Hanafi dengan nama Buah Kusyen.

Peristiwa tersebut tidak berakhir di situ. Kedua-dua mereka telah membuat laporan polis dengan menuduh Ustaz Hanafi yang menyerang mereka. Oleh sebab itu, Ustaz Hanafi telah ditahan di lokap polis di Butterworth. Peristiwa ini berlarutan hingga ke mahkamah di mana Marina Yusof , (Datuk) sebagai hakim pada waktu itu telah mendapati Ustaz Hanafi tidak bersalah.

Azmi Long dan Redwan Long masih tidak berpuas hati terhadap peristiwa yang berlaku. Mereka kemudian telah pergi berjumpa Encik Yahaya Said di Batu Kurau , Perak dan bergabung dengan Encik Yahaya Said untuk mengembangkan semula Silat Kalimah. Mereka percaya dengan kekuatan Encik Yahaya Said yang sebelum ini sebagai guru Ustaz Hanafi akan dapat mengalahkan Ustaz Hanafi. Itulah harapan mereka. Namun sejarah telah memaklumkan kepada kita semua bahawa mereka tidak berjaya mengalahkan Ustaz Hanafi walaupun mereka mencuba berbagai cara. Silat Cekak yang diusahakan oleh Ustaz Hanafi terus berkembang.

Secara ringkas dan pengajaran yang boleh diambil dari perisiwa di atas ialah Allah swt sentiasa berada bersama-sama orang yang benar. Tidak kira samaada seseorang itu sebagai guru ataupun anak murid, jika mereka tidak menjalankan amanah dan tidak melakukan sesuatu berlandaskan kebenaran, maka Allah swt akan menghancurkan mereka.




USTAZ HANAFI DALAM KENANGAN ... Episod 4


Latar belakang pendidikan (Formal & Tidak Formal)

Ustaz Hanafi melalui pelbagai proses pendidikan baik secara formal mahupun tidak formal. Beliau mempunyai ramai guru-guru yang mendidik beliau dalam berbagai bidang baik perubatan, persilatan mahupun agama. Berbagai cara pendidikan yang dilalui antaranya:

i- Belajar di sekolah pondok

Ustaz Hanafi mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunong, Alor Setar, Kedah dalam tahun 1929 ketika berusia enam tahun. Beliau berhenti sekolah ketika berada di dalam darjah empat . Setelah berhenti dari sekolah Melayu, Ustaz Hanafi telah mengaji di pondok Kampong Alor Goncah, Mukim Gunong, Alor Setar, Kedah yang terletak kira-kira dua batu dari rumah beliau. Pondok ini di bawah pengawasan Hj Osman Lebai Zain. Pada tahun 1935, setelah belajar selama dua tahun di pondok tersebut, Ustaz Hanafi telah dipecat dari terus mempelajari di pondok tersebut kerana di katakan berkelakuan tidak senonoh kononnya beliau telah menikam curi ponggong seorang kawan pada suatu malam dengan sebilah pisau lipat dari bawah pondok. Tindakan tanpa siasatan oleh pihak pentadbir sekolah tersebut menyebabkan ibu bapa Ustaz Hanafi berasa malu.

Setelah berhenti pada tahun 1936, setahun selepas itu, beliau dihantar oleh bapanya mengaji di pondok Guar Chempedak , Kedah kira-kira 23 batu dari rumahnya. Pondok tersebut dikendalikan oleh Hj Abdul Majid dan Yahaya Jonid dan beberapa guru yang lain mengajar agama dan sekolah Arab. Oleh kerana kedudukan yang jauh dari rumah, Ustaz Hanafi tinggal bersama 400 rakan-rakan sekolah di pondok tersebut dan hanya pulang ke rumah sebulan sekali. Namun kerana kurang kesuaian, selepas hanya setahun berlajar di sekolah tersebut, Ustaz Hanafi telah berhenti dari sekolah tersebut. Beliau akhirnya pulang ke kampung dan belajar dengan beberapa orang guru antaranya:

-Hj Bukhari bin Hj Hasan dari Kampong Pinang, Mukim Pengkalan Kuno, Alor Setar
-Hj Hanafiah , bapa saudara beliau dari Anak Bukit, Alor Setar
-Hj Lah dari Cegar Pantai Johor, Kedah

Pengajian beliau dengan mereka ini menambahkan ilmu pengetahuan tentang ilmu bayan dan maani (ilmu bagi memahami isi-isi Al-Quran), hadis dan bahasa Arab. Namun pembelajaran beliau bersama mereka ini juga tidak lama….

ii- Belajar ilmu silat dan ilmu kebatinan dengan Pak Ngah Sharif

Di peringkat awal, Ustaz Hanafi telahpun mempelajari dan mengkaji beberapa jenis silat antaranya Silat Gayong Petani, Terlak, Kuntau Siam, Tomoi Siam, Sepelet dan lain-lain lagi. Pada pandangan beliau silat-silat tersebut hanya sesuai untuk pertunjukan sahaja dan terdapat beberapa amalan yang karut yang bercanggah dengan agama. Beliau mahu mencari ilmu silat yang benar-benar bersih dari perkara yang karut-marut, bermutu tinggi dan dapat menjaga keselamatan orang yang menggunakan ilmu silat tersebut.

Ustaz Hanafi mendapat tahu ada seorang pendekar yang handal pada waktu tersebut yang bernama Pak Ngah Sharif. Pak Ngah Sharif berasal dari Kubang Jelai, Tokai, Kedah. Kehandalan Pak Ngah Sharif menjadi bualan orang ketika itu. Beliau pernah mengalahkan orang-orang Siam di gelanggang Tomoi Siam di Thailand. Ustaz Hanafi amat berhajat menemui Pak Ngah Sharif tetapi sering tidak kesampaian kerana Pak Ngah Sharif sentiasa merantau untuk menjual ubat. Pak Ngah Sharif pernah menjelajah seluruh Tanah Melayu (Semenanjung), Thailand, Burma (Myanmar) dan Indo-China. Beliau pernah meniaga emas, intan, berlian dan kuda, akhir sekali menjual ubat. Usaha Ustaz Hanafi untuk bertemu dengan Pak Ngah Sharif tidak sia-sia apabila pada suatu hari apabila bapa beliau menunjukkan kepada beliau ke satu tempat di mana orang ramai sedang berkumpul menyaksikan orang menjual ubat dan orang yang berada di tengah-tengah kumpulan itulah yang bernama Pak Ngah Sharif. Pertemuan pertama kali pada hari tersebut hanya seketika sahaja kerana Pak Ngah Sharif sebok melayan pelanggan. Pertemuan berikutnya berlaku di Sungai Pantai Johor, Alor Setar tidak lama selepas itu.

Ustaz Hanafi kemudiannya diserahkan oleh bapa beliau untuk belajar dengan Pak Ngah Sharif. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1942, iaitu pada usia Ustaz Hanafi 19 tahun. Dengan itu bermulalah juga satu era dan permulaan Ustaz Hanafi belajar ilmu silat dan ilmu kebatinan (ketuhanan) dari Pak Ngah Sharif. Pada ketika itu para penuntut tidak dikenakan bayaran jika menuntut ilmu, hanya cukup sekadar dengan sumbangan tenaga kepada guru dengan melakukan kerja-kerja kampung untuk guru seperti memotong kayu, bersawah, menyangkul, menanam tebu dan sebagainya. Sewaktu lapang, baharulah Pak Ngah Sharif mengajar ilmu silat iaitu Silat Sendeng dan asas-asas ilmu kebatinan kepada Ustaz Hanafi. Selain melakukan kerja-kerja rumah, Ustaz Hanafi juga turut membantu dan mengikut Pak Ngah Sharif merantau sambil menjual ubat. Lama-kelamaan beliau mula mengetahui selok-belok menjual ubat dan juga mengenali ramai kawan-kawan Pak Ngah Sharif. Selepas itu beliau mula menjual ubat secara bersendirian pula tetapi semua yang dilakukan pada waktu itu adalah untuk guru beliau. Semenjak tinggal bersama Pak Ngah Sharif, Ustaz Hanafi banyak mempelajari ilmu-ilmu berkaitan kepahlawanan, ilmu perempuan, ubat-ubatan dan juga silap mata. Ustaz Hanafi juga telah diajar membuat sejenis julab yang sangat mujarab kepada kesihatan manusia. Julab tersebut bernama Ya Tai Ok Soon (bahasa Siam) dan telah ditukar oleh Ustaz Hanafi kepada nama Julab Abadi.

Asas pendidikan kebatinan yang diajar oleh Pak Ngah Sharif banyak membawa perubahan dalam hidup Ustaz Hanafi. Dari pendidikan yang diajarkan oleh Pak Ngah Sharif itulah beliau menyedari bahawa bukanlah mudah untuk mendapatkan satu ilmu yang baik. Beliau perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban dan mengharungi berbagai dugaan dan pahit maung untuk mendapatkan. Ianya juga memerlukan masa yang lama dan keyakinan yang tinggi untuk mendapat ilmu yang baik. Beliau juga sedar bahawa ilmu yang baik hanya ada pada orang-orang yang tertentu sahaja. Setelah belajar selama tiga tahun sehingga 1945 dengan Pak Ngah Sharif, Ustaz Hanafi mula melangkah sendiri. Beliau mula merantau keseluruh tanah air untuk menjual ubat sambil mencari lagi guru yang dapat meningkatkan kefahaman batin beliau. Semasa perantauan beliau inilah beliau dapat berjumpa dengan ramai tokoh yang masyhur antaranya :

-Cek Salleh bin Hj Abdul Rahman Limbong, murid Said Abdul Rahman, Paloh, Terengganu yang masyhur dengan alimnya.

-Kiai Muhamad Fadullah Suhaimi dari Singapura yang masyhur dalam bidang perundangan Islam (Syariah)

-Sheikh Osman Cincin dari Perak yang masyhur dengan ilmu kebal

-Abdullah Salleh yang masyhur dengan gelaran Cek Lah Keramat dan masyhur dengan ilmu perubatan tradisional di Terengganu.

Dua tahun selepas tamat belajar dengan Pak Ngah Sharif, beliau telah menamatkan zaman bujang beliau dan telah mendirikan rumah tangga. Namun begiut, oleh kerana minat beliau yang mendalam untuk mengkaji dan mendalami ilmu ketuhanan, beliau meneruskan kerja beliau dengan cara menjelajah ke seluruh tanahair menjual ubat sambil mencari guru hakikat yang boleh menyimpulkan kefahaman tauhid beliau walaupun beliau telah berkahwin. Beliau selalu meninggalkan isteri dan anak-anak beliau dalam usaha beliau menjual ubat dan juga mencari guru yang dapat menyimpulkan fahaman kebatinan beliau.

iii- Belajar dengan Hj Zain bin Lebai Abdul Rahman

Seperti yang telah disebutkan, beliau meneruskan kerja menjual ubat dengan cara menjelajah ke seluruh tanahair sambil mencari guru hakikat yang boleh menyimpulkan kefahaman tauhid beliau. Selepas hampir sepuloh (10) tahun mencari, akhirnya pada tahun 1957 iaitu pada usia beliau 34 tahun, Ustaz Hanafi telah bertemu dengan Hj Zain bin Lebai Abdul Rahman yang tinggal di Pantai Johor, Alor Setar, Kedah. Pak Hj Zain selalu berada di Pekan Rabu kerana menjual kitab-kitab ugama. Ustaz Hanafi sebenarnya tidak mengenali Pak Hj Zain sehinggalah pada satu ketika berlaku peristiwa cabar-mencabar mengenai pegangan agama masing antara mereka berdua di Pekan Rabu yang hampir melibatkan pergaduhan. Ustaz Hanafi mula menyedari Pak Hj Zain mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu ketuhanan selepas peristiwa tersebut dan mahu berguru dengan beliau.

Ustaz Hanafi mula belajar dengan Pak Hj Zain pada tahun 1957 hinggalah Pak Hj Zain meninggal dunia pada tahun 1975 (jangka masa 18 tahun). Dalam masa beliau belajar itu jugalah, beliau ada bekerja sebagai Pegawai Zakat dan kemudiannya mengembangkan Silat Cekak. Cara belajar dengan Pak Hj zain adalah dengan cara tidak formal iaitu dengan cara berbual dan membaca kitab. Dalam masa tersebut , beliau juga belajar Silat Cekak ini dari Encik Yahaya Said pada tahun 1965 dan seterusnya mengembangkan silat tersebut walaupun Pak Hj Zain kurang bersetuju dengan tindakan meneruskan niat mengembangkan Silat Cekak.

Kitab yang diajar oleh Pak Hj Zain adalah Kitab Hikam Ibni Ataillah yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Al Alim Al Hammah Al Fadhilah, yang bergelar Tok Pulau Manis Terengganu. Semasa berguru dengan Hj Zain jugalah Ustaz Hanafi merasakan beliau telah menemui apa yang dicari selama ini. Melalui Pak Hj Zain dan sebelumnya Pak Ngah Sharif, Ustaz Hanafi dapat memutuskan kefahaman kebatinannya. Yang dimaksudkan dengan fahaman kebatinan ialah MEMBERSIHKAN HATI ATAU MENGHILANGKAN SAKIT JIWA SEPERTI TUBUH BOLEH BERPENYAKIT, ROH JUGA BERPENYAKIT (RISAU, SOMBONG, GILA PANGKAT DAN LAIN-LAIN LAGI). Penyakit jiwa ini mesti dibuang supaya roh dapat berhubung dengan Allah swt dengan tenang dan khusyuk. Setelah roh mendapat sejahtera, tubuh juga akan beroleh kesejahteraan dan dapat mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat. Tujuan besar menghilangkan penyakit jiwa supaya roh jangan ditakluki oleh hawa nafsu. Hidup didunia mestilah dengan tujuan untuk menjadi HAMBA ALLAH. Oleh itu hidup di dunia ini hanya bertuhankan Allah semata-mata. Tidak takut menghadapi kenyataan, susah dan senang dirasakan sama sahaja kerana hidup, mati dan rezeki telah ditentukan oleh Allah swt. Manusia hanya berusaha, hasilnya adalah dari Allah swt.

Menurut pegangan Ustaz Hanafi, hanya kepada tuhan tempat bergantung dan Nabi Muhamad sebagai ikutan dan pedoman. Selain dari dua perkara tersebut beliau tidak pedulikan, umpamanya kepada wali-wali allah. Kerana seorang yang menjadi wali Allah itu adalah atas KURNIA oleh Allah . Jadi sesiapapun boleh menjadi wali Allah asalkan ia seorang yang kuat kenyakinan dan teguh pendirian kepada Allah. Dengan fahaman inilah dapat mententeramkan hati, fikiran dan memancarkan cahaya perjuangan di dalam hidupnya. Fahaman iktikad yang diamalkan oleh Ustaz Hanafi ialah iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu ahli yang mengikut sunnah Rasullullah dan sahabat-sahabat baginda…




USTAZ HANAFI DALAM KENANGAN ... Episod 3


Ustaz Hanafi dikatakan manusia luar biasa di zaman beliau atas sebab perwatakan dan keperibadian beliau. Beliau disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Oleh kerana kita semua tidak ada lagi di dunia sewaktu di awal perkembangan Ustaz Hanafi, maka kami terpaksa menggunakan rujukan-rujukan tertentu untuk disiarkan dalam penulisan kami ini. Salah satu dokumen yang kami rujuk ialah dokumen kajian ilmiah yang telah dihasilkan oleh isteri Naib Presiden, Tn Hj Md Nasir Md Arshad iaitu Pn Hajjah Halimah Haji Ahmad (Kak Limah) pada tahun 1978 sewaktu Kak Limah belajar ditahun akhir di Universiti Malaya Kuala Lumpur. Kajian ilmiah (thesis) tersebut bertajuk ‘Hanafi Haji Ahmad dan Seni Silat Cekak’. Penulisan di dalam dokumen tersebut kami siarkan semula (dengan izin) untuk mengimbau noltalgia terhadap Ustaz Hanafi. Walaupun kami percaya ramai yang memiliki dokumen tersebut, tetapi mungkin ramai yang telah terlupa dan tidak tahu dimana letaknya. Atau mungkin juga ramai penuntut Silat Cekak sekarang yang tidak mengetahui tentang kewujudan dokumen tersebut. Kami percaya penuntut Silat Cekak zaman sekarang tidak didedahkan tentang dokumen tersebut.



Kami siarkan kembali kisah silam mengenai Ustaz Hanafi seperti yang tercatit di dalam kajian ilmiah tersebut dengan beberapa tambahan dan penyesuaian dibuat tetapi tidak melarikan fakta. Usaha ini adalah untuk memberitahu kepada generasi muda Silat Cekak supaya sedikit sebanyak dapat mengetahui dan mengenali siapakah dia Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Hayatilah bagaimana susahnya Ustaz Hanafi mencari ilmu dan telah berlajar dengan ramai guru-guru dalam berbagai bidang semata-mata untuk mencari kesimpulan tentang hidup dan kemudiannya untuk diturunkan kepada anak murid beliau. Pengajaran yang hendak Pak Kaduk sampaikan di sini ialah, untuk menjadi orang yang berilmu dan berpengetahuan, kita perlu berusaha dan mencari ilmu dan berguru dengan sesiapa yang mempunyai ilmu. Bukan hanya duduk diam dan mengharapkan orang datang mengajar kita. Ilmu pengetahuan tidak akan datang bergolek kepada kita kerana setiap ilmu itu perlu ada guru yang mengajarnya. Oleh itu kitalah yang harus berusaha untuk mendapatkan ilmu. Bukannya didapati secara ‘magik’ seperti mana ramai dari kita generasi sekarang fikirkan. Bukanlah semudah itu untuk menuntut ilmu.

Seperti yang telah kita ketahui, Ustaz Hanafi dilahirkan pada tahun 1923 di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunong, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak sulong kepada tujuh orang adik beradik. Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1947 semasa berumur 24 tahun. Hasil perkongsian hidup rumahtangga beliau, telah dikurniakan enam orang cahaya mata, lima lelaki dan seorang anak perempuan. Sekarang ini, kesemua anak-anak Ustaz Hanafi telah mendirikan rumahtangga dan tinggal di sekitar Kuala Lumpur bersama-sama keluarga masing kecuali anak yang bongsu perempuan yang masih tinggal bersama-sama ibu beliau di rumah peninggalan Ustaz Hanafi di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur.

Kita semua juga tahu bahawa Ustaz Hanafi adalah pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia setelah menerima ilmu Silat Cekak daripada Encik Yahaya Said, melalui Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah. Selain memegang jawatan Guru Utama, beliau juga memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Seni Silat Cekak, sebuah persatuan yang diasaskan oleh beliau untuk mengembangkan ilmu silat cekak. Sepanjang menjalankan tugas tersebut, Ustaz Hanafi juga mengajar ugama dengan mengadakan ceramah-ceramah ugama dan kursus tauhid. Sebelum mengasaskan silat ini, Ustaz Hanafi pernah mempelajari Tomoi Siam, Silat Sendeng, Silat Terelak dan akhir sekali Silat Cekak. Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986 di rumah beliau di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur pada usia 63 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Islam, Keramat Permai, Kuala Lumpur. Beliau meninggalkan seorang balu dan enam orang anak. Dan yang paling penting beliau telah meninggalkan PERJUANGAN beliau kepada kita untuk kita semua teruskan.

Perwatakan Ustaz Hanafi

Ustaz Hanafi adalah manusia yang ‘simple’ dalam kehidupan tetapi tegas dalam membuat keputusan. Ustaz Hanafi tidak mudah percaya kepada orang lain tanpa disertakan hujah dan sebab dan musababnya. Setiap perkara yang dinyatakan kepada beliau perlu dibuktikan kenyataannya samada benar ataupun tidak. Di waktu kecil, beliau merupakan seorang yang degil kerana tidak mengikut nasihat orang. Bila beliau dewasa, sifat tersebut masih kekal.

Beliau juga seorang yang bijak. Kebijaksanaannya membolehkan beliau berfikir dan merancang serta membuat keputusan sendiri tanpa meminta pandangan orang lain. Ustaz Hanafi juga seorang yang pandai berhujah, agresif, berjiwa Melayu tulen, bijak dan hanya menerima nasihat jika kena pada tempatnya. Beliau tidak suka menonjol diri, tidak suka diampu dan mengampu, pendiriannya tegas dan pandai menyesuaikan diri. Pakaiannya mengikut aliran zaman. Beliau juga seorang yang cergas, rajin membaca, cenderong pada keagamaan dan mempunyai jiwa dakwah yang kuat. Oleh itu Ustaz Hanafi memang lebih dari layak untuk menjadi seorang pemimpin.

Ustaz Hanafi juga suka menolong orang-orang yang susah, beliau tidak kagum dengan orang hartawan dan berpangkat. Fikiran beliau maju kehadapan dan dapat mengatasi pendapat orang lain dalam segala bidang samada agama, politik mahupun silat. Sejak dari kecil beliau merupakan seorang yang berani pada jalan yang benar, berani bertikam lidah dengan sesiapa sahaja dan berani mengeluarkan pendapat beliau. Fahaman kebatinannya terhadap Allah swt sangat dalam dan beliau suka mencari benda-benda ajaib yang berlandaskan agama Islam.

Ustaz Hanafi banyak mempelajari dari pengalaman beliau sendiri, melalui pembacaan yang luas dan guru-guru yang didampingi beliau. Peribadi beliau yang tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain kerana berpendirian tegas. Beliau bukan merupakan seorang konservatif dan liberal dalam hal-hal yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Mempunyai fahaman yang luas dalam bidang agama. Mengkaji sampai ke intipatinya dan ajarannya mengenai Islam mudah difahami.

Anak-anak murid Ustaz Hanafi melihat beliau seorang yang sangat merendah diri, tidak mengaku pandai dan hebat, tidak suka merendah-rendakan martabat orang lain, tidak minta dihormati atau di sanjung. Beliau boleh diibarat seperti seorang bapa pada satu masa dan pada masa yang lain sebagai sahabat, guru agama dan guru silat. Ustaz Hanafi tidak kedekut dan makan duit anak murid. Beliau juga tidak suka berhutang. Pengetahuan agama beliau amat tinggi, amalan syariat beliau sangat dititik beratkan. Hatta walau kemana beliau pergi, beliau sentiasa tidak mengabaikan suruhan Allah swt. Beliau tidak membesar diri dan menunjuk-nunjuk, tidak meminta-minta. Beliau juga amat kasih kepada para anak murid dan pentadbir-pentadbir yang bersama beliau. Yang paling penting ialah Ustaz Hanafi tidak mengambil kesempatan ke atas anak murid beliau.

Kegemaran

Ustaz Hanafi amat berminat dengan silat. Beliau gemar membuat kajian tentang silat melayu yang di ada di kampung beliau dan juga kampung sekitar. Beliau juga seorang yang gemar membaca buku-buku berkaitan pahlawan-pahlawan Melayu, kelebihan wali-wali Allah, ugama Islam dan tentang perundangan Islam. Buku perundangan Islam karya Kiai Muhammad Fadullah Suhaimi dari Singapura merupakan buku yang diminati oleh beliau kerana Kiai Muhammad mempunyai fahaman yang sederhana. Kiai ini tidak memandang rendah fahaman-fahaman mazhab Islam seperti Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi.

Ustaz Hanafi juga mempunyai kegemaran yang agak aneh iaitu kegemaran menziarahi makam-makam pahlawan dan ulamak-ulamak yang soleh lagi keramat, umpamanya beliau pernah menziarahi makam Tuan Hussein di Titi Gajah, Tuan Sheikh Abdul Jalil, Mufti Negeri Kedah yang meninggal dunia lebih 200 tahun yang lampau di Tanjung Pauh, Jitra, Kedah; makam Tok Pulau Manis di Terengganu, makam Tuan Syed Abdul Rahman di Kampung Paloh, Terengganu dan makam Syed Salleh anak Al-Marhum Hj Abdul Rahman Limbong juga di Terengganu.




USTAZ HANAFI DALAM KENANGAN ... Episod 2

Pada episod kali ini, ayuh kita kaji latar belakang dan perwatakan pemimpin agung yang sentiasa dikenang dan disanjung iaitu Al-Marhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad. Pemergian beliau masih dirasakan walaupun sebenarnya beliau telah meninggalkan kita semua lebih 20 tahun yang lalu. Kekosongan yang beliau tinggalkan sehingga kini tidak dapat diisi oleh dua orang individu yang pernah menjawat jawatan Guru Utama. Ustaz Hanafi tetap hadir dalam diri setiap kita melalui perjuangan yang beliau tinggalkan. Maka atas sebab itulah, perjuangan beliau tetap kita teruskan walau apapun halangan dan cabarannya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah Ustaz Hanafi, tetap segar dalam ingatan kita.

Ustaz Hanafi mendidik dengan cara hikmah, bukan dengan cara memaksa. Beliau ‘menarik’ golongan yang hina untuk bersama perjuangan beliau dan golongan tersebut menjadi manusia yang beguna hasil didikan beliau. Maka sudah semestinyalah, kita semua akan sentiasa mengenang dan merindui Ustaz Hanafi.

Ustaz Hanafi, hadirmu bak purnama, menerangi malam dan menyerikan suasana. Engkau laksana bintang yang bergemerlapan, tidak puas mata memandang….

Sebagai menghargai dan menyingkap kembali kisah Ustaz Hanafi ini, elok juga kita menyingkap tentang sejarah hidup beliau secara ringkas.

Ustaz Hanafi Hj Ahmad (1923 – 1986) - 63 tahun
Tahun 1923 - dilahirkan di Kg Sungai Baru, Mukim Gunong Alor Setar, Kedah

Tahun 1929 (6 tahun) -mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunong,Alor Setar Kedah



Tahun 1933 (9 tahun) -belajar di sekolah pondok Kampong Alor Goncah, Mukim Gunong, Alor Setar, Kedah

Tahun 1935 (11 tahun) -diberhentikan dari sekolah kerana dikatakan berkelakuan tidak baik walaupun beliau menafikannya.

Tahun 1936 (13 tahun) -menyambung pelajaran di pondok Guar Chempedak, Gurun, Kedah

Tahun 1937 (14 tahun) -berhenti dari sekolah pondok di Guar Chempedak

Tahun 1937 (14 tahun) - selepas behenti dari pondok di Guar Chempedak, beliau kembali ke kampung beliau dan belajar dengan beberapa guru sekolah pondok di kampung beliau dan juga bapa saudara beliau untuk beberapa tahun

Tahun 1942 (19 tahun) -mula bertemu dan belajar dengan Pak Ngah Sharif. Antara ilmu yang diperlajari adalah ilmu ketuhanan dan perubatan.

Tahun 1945 (22 tahun) -berhenti belajar dengan Pak Ngah Sharif selepas 3 tahun bersama guru tersebut

Tahun 1945 (22 tahun) -mula menjelajah ke seluruh tanah air untuk menjual ubat

Tahun 1946 (23 tahun) -menyertai bidang politik dengan menganggotai Parti Seberkas

Tahun 1946 (23 tahun) -bertemu Encik Yahaya Said untuk kali pertama ketika sedang menjual ubat

Tahun 1947 (24 tahun) - mendirikan rumah tangga

Tahun 1956 (33 tahun) - keluar dari Parti Seberkas

Tahun 1957 (34 tahun) -mula belajar dengan Pak Hj Zain Lebai Abdul Rahman

Tahun 1959 (36 tahun) - menyertai Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar. Bertanding dalam pilihanraya bagi Kawasan Langkawi sebagai calon Parti Negara tetapi tewas. Setelah tewas dalam pilihanraya, Ustaz Hanafi dan keluarga telah berpindah ke Lenggeng, Negeri Sembilan dan tinggal di sana selama satu tahun setengah.

Tahun 1962 (39 tahun) - kerana kehidupan yang susah di Lenggeng, beliau kembali ke Kedah dan meneruskan kerja menjual ubat di Pekan Rabu dan sekitarnya.

Tahun 1963 (40 tahun) -dilantik menjadi Pegawai Penerangan Pejabat Zakat dan kemudiannya beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Penyelia Zakat bagi kawasan Kota Setar I. Beliau kemudian telah dinaikkan pangkat sekali lagi menjadi Penolong Setiausaha Zakat , Jajahan Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah.

Tahun 1965 (42 tahun) -selepas selama satu tahun empat bulan berkerja sebagai pegawai zakat, Ustaz Hanafi mengambil keputusan berhenti dari kerja tersebut. Keputusan tersebut dibuat disebabkan suasana perkerjaan yang ditekan oleh unsur-unsur & tekanan politik

Tahun 1965 (42 tahun) -berniaga apam balik di Yala, Siam tetapi tidak lama selepas itu berhenti berniaga kerana tidak menguntungkan kerana kejatuhan matawang Siam. Pada tahun ini, beliau telah bertemu dengan Encik Yahaya Said untuk kali kedua pada bulan Disember tahun 1965. Silat Cekak dilahirkan kembali pada 28 Disember 1965 apabila 20 orang penuntut baru telah diijazahkan oleh Encik Yahaya Said. Ustaz Hanafi adalah salah seorang penuntut. Walaubagaimanapun kelas latihan silat belum dijalankan kerana tidak persatuan yang menaungi silat tersebut.




Tahun 1966 (43 tahun) - hasil usaha beberapa rakan dan beliau sendiri, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sesi Silat, Perkumpulan Seni Seri Budaya Seri Kedah. Perkumpulan ini telah bersetuju digunakan sebagai perkumpulan yang menggerakan Silat Cekak. Selepas menjadi pengerusi Sesi Silat, maka Encik Yahaya Said telah dilantik secara rasmi oleh Perkumpulan Seni Seri Budaya Seri Kedah untuk menjadi Guru Silat. Selepas perlantikan tersebut, barulah kelas pertama Silat Cekak dimulakan. Kemudian kelas silat yang kedua telah dibuka di Telok Wan Jah, Kedah

Tahun 1968 (45 tahun) -kelas silat seterusnya dibuka di Sungai Petani, Kedah

Tahun 1970 (47 tahun) -berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan anak dan isteri beliau di Kedah.

Tahun 1971 (48 tahun) -di Kuala Lumpur , beliau telah cuba mengembangkan Silat Cekak. Beliau telah sekali lagi mencari persatuan yang boleh membantu beliau untuk mengembangkan silat ini. Kerana Silat Cekak pada waktu itu belum didaftarkan dan adalah menjadi kesalahan untuk menjalankan kelas silat tanpa persatuan atau pendaftaran rasmi. Beliau telah berjaya mendapat kebenaran persatuan bawean putra untuk menaungi silat ini. Beliau kemudian dilantik menjadi ahli dan juga ketua seksi seni silat Persatuan Bawean Putra, Kuala Lumpur (persatuan sepak raga jaring). Kelas pertama di adalah Kampung Bumiputera, Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur di buka. Seramai 12 orang telah mempelajari Silat Cekak.

Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia telah didaftarkan. Kelas kedua di Sungei Way dibuka pada 6 Disember 1971
Tahun 1973 (50 tahun) - membentang kertas kerja bertajuk ‘Silat Cekak Malaysia di Konvensyen Seni Silat Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mendapat tentangan dari pelbagai aliran persilatan termasuk Silat Kalimah, Gayung dan Lincah.

Tahun 1974 (51 tahun) -kelas pertama di IPT ditubuhkan iaitu di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada Julai 1974.

Tahun 1975 (52 tahun) -kelas kedua di IPT iaitu di Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM), Shah Alam ditubuhkan. Kelas ketiga di IPT iaitu di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) di tubuhkan. Kelas keempat di IPT iaitu di Universiti Teknologi Malaysia ditubu

Tahun 1975 (52 tahun) -nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia telah ditukarkan kepada nama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 15 April 1975.



Tahun 1976 (53 tahun)-kelas kelima di IPT iaitu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ditubuhkan. Kelas keenam di IPT iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia di tubuhkan pada tahun yang sama.

Tahun 1977 (54 tahun) -penubuhan cawangan Pulau Pinang pada 22 Januari 1977 dan kemudiannya cawangan di Ipoh, Perak pada 27 Mac 1977 ditubuhkan dan lain-lain cawangan pada tahun-tahun berikutnya.

Tahun 1980 - 86 - untuk enam tahun terakhir sebelum akhir hayat beliau, beliau telah banyak melakukan pembaharuan dan melakarkan kejayaan antaranya seperti pembinaan bangunan Silat Cekak, pembukaan kelas di cawangan-cawangan, menubuhkan Koperasi Gerak Jaya berhad, menubuhkan Kelab Sukan Seri Lading, pembukaan Mini Market Gerak Jaya di AU2, Taman Keramat, pembukaan pusat penjagaan kanak-kanak di AU5, Taman Keramat, terlibat ke atas penubuhan PESAKA

Tahun 1986 (63 tahun) -meninggal dunia di rumah beliau di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur