feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Maklumat Terkini

"Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda diperbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui, (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah, niscaya akan dibayar cukup kepada kamu, dan kamu tidak dirugikan" Ayat 60 Surah Al-Anfal

Pengumuman Penting ...

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pekeliling MMK 09/13

6 Jun 2009

Semua Ahli
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.

Tuan / Puan,

MAKLUMAN SITUASI SEMASA PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA - Menggunakan Nama Persatuan Tanpa Kebenaran

Perkara diatas adalah dirujuk. Dukacita dimaklumkan bahawa pihak Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM) telah menerima aduan dari ahli-ahli bahawa suatu perhimpunan telah diadakan pada 6hb Jun 2009 bertempat di Dewan MPAJ, Pandan Indah oleh pihak-pihak tertentu yang merujukkan perhimpunan tersebut kepada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 untuk PSSCUHM.

Untuk makluman semua ahli, pihak PSSCUHM tidak menganjurkan apa-apa mesyuarat atau perjumpaan pada masa ini dan sama sekali tidak mengeluarkan sebarang Notis Mesyuarat atau mengadakan sebarang perjumpaan pada tarikh dan tempat seperti di atas.

Pihak persatuan mendapati bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mencemarkan nama baik PSSCUHM dengan menggunakan nama persatuan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut. Pihak persatuan telah membuat laporan polis dan seterusnya akan berkerjasama dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia untuk mengambil tindakan serius mengenai perkara ini.

Pihak persatuan juga akan membuat laporan polis kerana terdapatnya individu yang tidak bertanggungjawab kerana telah menipu dengan menggunakan nama PSSCUHM bertujuan untuk menganjurkan suatu perhimpunan. Individu tersebut juga telah menipu secara menyamar sebagai orang lain selain daripada dirinya sendiri, dan telah secara sengaja menyamar sebagai agen atau penjawat jawatan di PSSCUHM. Pihak persatuan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu di dalam perkara seperti ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menipu ahli-ahli dan masyarakat umum.

Pihak persatuan menasihatkan ahli-ahli supaya bertenang dan TIDAK MELIBATKAN DIRI di dalam apa-apa perjumpaan ataupun perhimpunan yang tidak sah kerana ianya adalah salah di sisi undang-undang Malaysia. Ingin ditegaskan di sini bahawa pihak persatuan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahli yang didapati melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung di dalam perhimpunan atau perjumpaan yang tidak sah.

Ahli-ahli bolehlah merujuk di laman web rasmi persatuan www.silatcekakhanafi.org atau berhubung terus dengan pejabat pengurusan jika memerlukan penjelasan dan keterangan terperinci.

Sekian, wassalam.

AMINUDIN BIN DAHLAN
Ketua Perhubungan Seranta



PSSCUH Asli...

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Pekeliling MMK 09/12

27 April 2009



Semua Ahli,

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.



Tuan / Puan,

MAKLUMAN SITUASI SEMASA PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Sukacitanya perkara diatas adalah dirujuk.

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa berdasarkan Perlembagaan Persatuan, Peraturan 7, Ceraian 23 (b), pada 28 Mac 2009 (Sabtu), pada jam 10.00 pagi, bertempat di Dewan Tertutup, Kompleks Rakan Muda, Sementa, Kelang, Selangor Darul Ehsan dengan dihadiri seramai 318 orang Perwakilan diseluruh Malaysia iaitu sekitar 77.6% peratus kehadiran daripada jumlah maksima Perwakilan sebanyak 410 orang.

Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa ini di adakan atas desakan 10 buah Cawangan Negeri di Malaysia yang menuntut Presiden memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa tersebut kerana hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2006/2009 yang telah gagal melaksanakan amanahnya berdasarkan Perlembagaan Persatuan dan ketetapan Mesyuarat Agung Perwakilan serta enggan memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Tahun 2006, 2007 dan 2008 dan Minit Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 telah difailkan dengan sempurna di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 31 Mac 2009.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap En.Ramlee Bin Abd.Rahman (Mantan Setiausaha Agung), En.Amrahi Bin Buang (Mantan Bendahari Agung), En.Abd Azman Bin Johan dan En.Kamarul Baharaini Bin Abd.Latiff (Mantan Juruaudit Dalaman) kerana telah enggan dan engkar untuk menyerahkan Penyata Aktiviti dan Kewangan PSSCUHM pada 26hb April 2009.

Adalah dimaklumkan juga bahawa pembubaran 10 Buah Cawangan Negeri oleh MMK 2006/2009 adalah tidak sah kerana Mesyuarat Agung Luar Biasa Cawangan Negeri yang hilang kepercayaan dan keyakinan kepada En.Ramlee Bin Abd.Rahman (mantan Setiausaha Agung) telah diadakan pada bulan Februari 2009 dan MMK 2006/2009 telah tamat tempohnya selama 3 tahun pada 11hb Mac 2009.

Turut dimaklumkan bahawa pengguguran keahlian beberapa orang ahli Seumur Hidup persatuan ini adalah tidak sah kerana pemakluman tersebut hanya diterima selepas tarikh 21hb April 2009, iaitu selepas Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 terbentuk pada 28hb Mac 2009.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan kepada pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan kesahihan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa mahupun Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 tersebut, bolehlah mencabarnya dimana-mana mahkamah di Malaysia yang merupakan badan yang berwibawa untuk menentukan samada sesuatu Mesyuarat Agung tersebut sah ataupun tidak.

Suka saya tegaskan disini bahawa berkuatkuasa selama 3 tahun, bermula daripada 28hb Mac 2009, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditadbir oleh Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 (rujuk laman web rasmi persatuan www.silatcekakhanafi.org) yang telah dipilih pada Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa yang telah diadakan pada 28hb Mac 2009 dan akan berakhir tempohnya pada 27hb Mac 2012. Ahli-ahli juga dinasihatkan supaya berhubung terus dengan pejabat pengurusan jika memerlukan penjelasan dan keterangan terperinci.



Sekian, wassalam.





MOHAMAD AMIN BIN ZAINUL ABIDIN

Setiausaha Agung